Perlakuan seseorang individu sering berubah seiring peringkat usia. Dari keletah seorang bayi yang comel perlahan berubah kepada seorang kanak-kanak petah bicara yang ceria. Namun, memasuki usia remaja, anak-anak cenderung mulai menuntut ruang privasi sendiri.
Biasa untuk didengar apabila anak remaja gemar mengunci dirinya dari dalam bilik tidur sendiri, namun adalah sesuatu yang abnormal sekiranya tingkah laku ini adalah untuk satu tempoh masa yang lama.
Bahkan ada yang enggan melangkah keluar selama berbulan-bulan, malah bertahun-tahun. Ini adalah fenomena lumpuh psikologi yang sedang menyerang anak muda di seluruh dunia.
Krisis ini dipanggil Hikikomori.
Istilah ini berasal dari Jepun. Ia adalah gabungan kata ‘hiki’ yang bermaksud berundur, dan ‘komori’ yang bermaksud masuk mengurung diri. Ia merujuk kepada individu yang menarik diri secara ekstrem dari masyarakat selama sekurang-kurangnya enam bulan.
Penyelidik membahagikan krisis ini kepada beberapa corak pengasingan:
1. Jenis Hard Core (Tegar)
Bagi kumpulan ini, bilik tidur adalah kubu terakhir mereka. Mereka langsung tidak akan keluar, malah memutuskan semua bentuk perbualan dengan ahli keluarga yang tinggal di bawah bumbung yang sama.
2. Jenis Soft (Ringan)
Ini adalah fasa di mana individu tersebut masih melangkah keluar sesekali atau bercakap dengan orang lain pada waktu-waktu tertentu, tetapi secara umumnya kehidupan mereka masih terperangkap di dalam rumah.
3. Hikikomori Sekunder
Bagi kelompok ini, tindakan mengurung diri adalah tindak balas fizikal kepada penyakit mental lain yang sedang menghancurkan jiwa mereka. Mereka mungkin sedang bertarung dengan kemurungan, ketakutan sosial yang kronik, skizofrenia, atau ketagihan internet yang parah.
4. Hikikomori Primer
Ini adalah misteri yang paling membuntukan pakar. Mereka tidak didiagnos dengan sebarang penyakit psikiatri yang lain, namun minda mereka tetap memilih untuk menolak dunia luar sepenuhnya sehingga musnah segala fungsi kehidupan harian dan kerjaya.
Hikikomori bukanlah satu pilihan gaya hidup untuk bersenang-lenang. Ia adalah satu jeritan senyap meminta pertolongan apabila otak tidak lagi mampu menanggung tekanan dunia realiti. Memahami jenis-jenis ini adalah langkah pertama untuk kita berhenti menghukum dan mula merawat.
Jika anda mempunyai ahli keluarga yang sedang melalui fasa ini, langkah pertama ke arah penyembuhan adalah dengan memahami keadaan mereka dan mendapatkan pandangan daripada pakar kesihatan mental.
Sumber : Public Health Malaysia



