LIMA DAERAH SERENTAK DIISYTIHAR KAWASAN BENCANA BANJIR DI SABAH

BANJIR: Keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Sapong Tenom yang ditenggelami banjir.

KOTA KINABALU: Lima daerah di Sabah diisytihar kawasan bencana banjir secara serentak pada Rabu susulan hujan berterusan dan limpahan sungai sejak beberapa hari lalu.

Daerah terbabit ialah Tenom, Beaufort, Membakut, Sook dan Sipitang, selain tiga daerah di utara iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan yang lebih awal terjejas akibat cuaca buruk menjadikan jumlah keseluruhan daerah terjejas di negeri ini kini mencecah 10 kawasan.

Di Tenom, pengisytiharan dibuat pada jam 9 pagi Rabu susulan limpahan Sungai Padas yang menjejaskan 22 kampung.

Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Bencana Daerah, Pegawai Daerah Tenom yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom, Alexander Liew, mengisytiharkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada jam 10 pagi, 25 Februari 2026.

PINDAH: Pasukan APM membantu memindahkan mangsa terjejas banjir di Beaufort.

Sebanyak 18 PPS diaktifkan melibatkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Melalap dan Kemabong selepas pemeriksaan mendapati kediaman Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak selamat untuk didiami.

Bagi DUN Melalap, PPS yang dibuka ialah RK Mandalom Lama, Dewan Jinuin Jimin, SK Saga, Dewan Masyarakat Sri Antenom, Dewan Terbuka Saga, SK Mandalom Lama dan Dewan SMK Entabuan.

Di DUN Kemabong pula, PPS melibatkan Dewan Terbuka Labut 1, Tabika Desa Sapong, Dewan Sri Ontoros, RK Skim Kuala Tomani, RK Gumisi Ulu, RK Kalasasan, RK Kebudayaan Maugus, Dewan Terbuka Angalor, Dewan Kampung Pamaluyan, Dewan Terbuka Sindungon dan Dewan Terbuka Labut 2.

Selain pembukaan PPS, sebanyak 22 laluan termasuk di Kemabong tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan akibat dinaiki air, beberapa jalan utama turut ditutup dan lima sekolah terjejas.

Beaufort dan Membakut masing-masing diisytihar dilanda banjir pada jam 8 pagi dan 10 pagi Rabu, dengan Beaufort mencatat pengisytiharan kedua bulan ini dan ketiga sejak Januari.

Sook dan Sipitang pula diisytihar kawasan bencana seawal jam 4.30 pagi dan 6 pagi Rabu, selaras dengan peningkatan paras air di beberapa sungai utama.

SELAMAT: Penduduk kampung berpindah ke kawasan selamat selepas banjir besar menjejaskan perkampungan mereka.

Berdasarkan Kemaskini Laporan Bencana Banjir Sabah setakat jam 4 petang Rabu, jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 2,616 orang melibatkan 1,225 Ketua Isi Rumah (KIR).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah KIR dan penduduk terjejas terbabit mencatat peningkatan berperingkat sepanjang hari.

“Statistik harian menunjukkan peningkatan ketara antara jam 8 pagi hingga 4 petang dengan pertambahan bilangan KIR serta penduduk yang berdaftar di PPS.

“Selain lima daerah berkenaan, beberapa daerah lain turut dipantau rapi berikutan trend peningkatan jumlah penduduk terjejas di seluruh negeri.

“Antara daerah yang disenaraikan dalam laporan pemantauan ialah Kota Marudu, Kudat, Kota Belud, Tuaran, Ranau, Tambunan, Penampang, Putatan, Papar, Kuala Penyu, Nabawan, Tongod, Kalabakan, Tawau, Kunak, Semporna, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Keningau serta Pulau Banggi,” katanya.

Katanya, pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko selain memastikan keperluan asas mangsa di PPS mencukupi.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diminta berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“JPBN Sabah akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa selaras perkembangan situasi banjir di seluruh negeri,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat berterusan pada Selasa, khususnya di kawasan pedalaman Sabah susulan keadaan cuaca tidak menentu sejak 23 Februari.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …