Tenaga buruh terus menunjukkan trend meningkat pada suku tahun keempat 2025, dengan peningkatan sebanyak 0.8 peratus atau 131.6 ribu orang untuk mencatatkan 17.62 juta orang (ST3 2025: 17.49 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal tidak berubah pada 70.9 peratus, sebagaimana yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2025.
Bilangan penduduk bekerja terus merekodkan prestasi positif pada suku tahun keempat 2025, meningkat sebanyak 0.8 peratus (+133.5 ribu orang) kepada 17.10 juta orang (ST3 2025: 16.97 juta orang). Dari segi tahun ke tahun, jumlah penduduk bekerja meningkat sebanyak 3.3 peratus, atau bersamaan pertambahan 541.1 ribu orang berbanding suku tahun keempat 2024 (ST4 2024: 16.56 juta orang).
Pada suku tahun keempat 2025, bilangan penganggur mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 peratus (-2.0 ribu orang) kepada 517.9 ribu orang (ST3 2025: 519.9 ribu orang). Selain itu, kadar pengangguran turun ke paras terendah sejak suku tahun kedua 2014, susut sebanyak 0.1 mata peratus kepada 2.9 peratus. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan bilangan penganggur sebanyak 20.8 ribu orang bersamaan dengan 3.9 peratus, sekali gus merekodkan kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu 2.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku yang sama tahun 2024.
Pada peringkat nasional, KPTB kekal pada 70.9 peratus pada suku tahun keempat 2025. Peningkatan penyertaan tenaga buruh dalam pasaran direkodkan di sembilan negeri. Selangor mendahului dengan KPTB tertinggi sebanyak 78.5 peratus, diikuti oleh W.P. Putrajaya pada 78.2 peratus dan W.P. Kuala Lumpur pada 75.5 peratus
Dari segi kadar pengangguran mengikut negeri, lapan negeri merekodkan nilai lebih rendah daripada kadar nasional iaitu 2.9 peratus. Dalam tempoh suku tahun tersebut, Pahang dan W.P. Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah pada 1.6 peratus, diikuti oleh Selangor pada 1.8 peratus, Johor dan Melaka pada 2.5 peratus.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia



