Penyakit Tuberkulosis (Tibi/ TB) ialah penyakit berjangkit berbahaya yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis, terutamanya menyerang paru-paru tetapi boleh merebak ke organ lain seperti tulang, otak dan buah pinggang. Ia merebak melalui udara apabila seseorang itu batuk atau bersin dan simptom utamanya termasuk batuk berpanjangan lebih dari dua (2) minggu, demam waktu malam, penurunan berat badan, dan sakit dada. Rawatan sekurang-kurangnya 6 bulan diperlukan untuk mencegah maut.
Tibi bukan jangkitan “kotor”, tetapi ia pandai menyorok di udara. Tibi paling mudah merebak apabila ada orang batuk di ruang tertutup, pengudaraan lemah dan kita duduk lama dalam udara yang sama. Ini adalah sebab tibi boleh berjangkit di rumah, tempat kerja, asrama, pusat tahanan atau mana-mana ruang yang rapat dan kurang angin.
Sebagai langkah mencegah jangkitan tibi, ini merupakan langkah-langkah yang boleh kita lakukan (Do):
1) Tutup mulut bila batuk, guna tisu atau siku, bukan tapak tangan;
2) Pakai pelitup muka bila anda batuk, terutama di ruang tertutup;
3) Buka tingkap, bagi angin jalan, tambah kipas ekzos jika ada;
4) Jaga jarak dan kurangkan lepak lama dalam bilik kecil yang sesak;
5) Jika batuk lebih 2 minggu atau ada demam malam, berpeluh malam, susut berat, buat pemeriksaan awal;
6) Kalau disahkan tibi, makan ubat ikut jadual sampai habis, walaupun dah rasa sihat
Jangan buat ini (Don’t):
1) Jangan berhenti ubat separuh jalan sebab tibi boleh jadi kebal dan makin susah dirawat;
2) Jangan percaya tibi merebak melalui pinggan, gelas, sudu, atau berjabat tangan;
3) Jangan “sembur satu rumah” sebagai solusi utama, fokus pada pengudaraan dan etika batuk;
4) Jangan duduk berhimpit dalam bilik tertutup bila ada orang batuk, itu paling berisiko;
5) Jangan buat lawak atau hina pesakit tibi, orang akan takut nak beritahu dan lambat dikesan;
6) Jangan self-diagnose dengan ubat batuk atau antibiotik rawak, tibi perlukan saringan yang betul.
Tibi boleh dicegah bila kita faham satu perkara.
Ia bukan tentang siapa “bersih” siapa “kotor”.
Ia tentang udara.
Sumber: Laman Facebook Public Health Malaysia



