SKIM PEMBIAYAAN TEMAN TEKUN SALUR RM25.17 JUTA DI SABAH TAHUN LEPAS

Mohamad (dua, kanan) menyampaikan replika cek bantuan pinjaman Tekun kepada Usahawan Tekun Orang Kurang Upaya (OKU) Dayang Patimah Matali pada Majlis Ramah Mesra Usahawan Teman Tekun di Perpustakaan Cawangan Membakut hari ini. – Gambar BERNAMA

MEMBAKUT: Skim Pembiayaan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menyalurkan RM25.17 juta di Sabah tahun lepas melepasi sasaran asal sebanyak RM21.94 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata pencapaian itu membuktikan usahawan Sabah semakin yakin dan proaktif memanfaatkan kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama-sama TEKUN Nasional akan terus memastikan sokongan berterusan diberikan agar usahawan mikro dan kecil mampu berkembang serta berdaya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEMAN TEKUN di sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat nasional, pembiayaan TEMAN TEKUN telah merekodkan jumlah keseluruhan RM162.05 juta mengatasi sasaran RM155 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan skim pembiayaan TEKUN Nasional dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.

“Kerajaan komited untuk memastikan usahawan luar bandar dan komuniti setempat tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara. Fokus kita ialah membantu usahawan meningkatkan pendapatan, memperkukuh perniagaan serta membina masa depan lebih stabil,” katanya.

Berhubung program itu, Mohamad berkata penganjur turut menyediakan Booth Informasi TEKUN Nasional bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat berkaitan skim pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan serta bimbingan secara terus daripada pegawai berkaitan.

“Program ini turut menampilkan Booth TikTok Shop dan Pemasaran Digital sebagai platform pendedahan kepada usahawan tempatan bagi memperluas pasaran produk secara dalam talian serta meningkatkan keupayaan pemasaran berasaskan teknologi digital.

“Pendigitalan perniagaan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing usahawan. Inisiatif seperti pendedahan kepada platform e-dagang dan pemasaran digital mampu membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada produk tempatan,” katanya.

Mohamad berkata TEKUN Nasional Sabah akan terus mempergiat pelaksanaan program turun padang, inisiatif latihan keusahawanan dan sokongan pembiayaan bagi memastikan lebih ramai usahawan mampu meningkatkan pendapatan, memperluas pasaran serta membina perniagaan yang mampan serta berdaya tahan.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

MONSUN TIMUR LAUT

Tahukah anda? Musim Monsun Timur Laut lazimnya berlaku bermula bulan November hingga Mac setiap tahun dengan tiupan angin dari arah …

PATRIOTISME DI ERA SIBER

Mempertahankan negara bukan sahaja di medan nyata, tetapi juga di ruang digital. Setiap klik, perkongsian dan tindakan kita membawa tanggungjawab …

ANCAMAN SIBER: BERSATU MEMPERTAHANKAN KESELAMATAN NEGARA!

Ancaman siber bukan sekadar penggodaman akaun, penipuan dalam talian atau kecurian data. Serangan siber berpotensi mengakibatkan kerugian kewangan, kelumpuhan sistem …