KENANGAN: Jamawi bergambar bersama dalam majlis APC 2025, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).
KOTA KINABALU: Seluruh warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan digesa berganding bahu serta memberi komitmen penuh bagi menjayakan Inisiatif Kebun Dapur sebagai langkah memperkukuh keselamatan makanan dan memupuk budaya berdikari dalam kalangan rakyat.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, penglibatan aktif pegawai serta kakitangan kementerian penting bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan memberi impak menyeluruh.
“Sokongan diperlukan dalam aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta promosi supaya manfaat inisiatif dapat dinikmati komuniti hingga ke peringkat akar umbi.
“Warga kementerian perlu menjadi barisan hadapan dan duta kepada inisiatif ini, menunjukkan teladan melalui penyertaan, sokongan teknikal serta promosi berkesan di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Shangri-La Tanjung Aru, di sini.
Jamawi menjelaskan Inisiatif Kebun Dapur bukan sekadar aktiviti pertanian skala kecil, sebaliknya satu gerakan strategik yang mampu memperkasa isi rumah dan membantu mengurangkan kos sara hidup.
Katanya, pendekatan itu juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian asas serta keupayaan menghasilkan makanan sendiri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kejayaan kementerian dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan bergantung kepada tahap kecekapan, integriti serta dedikasi penjawat awam.
“Kecemerlangan perkhidmatan tidak hanya diukur melalui pencapaian indikator prestasi utama (KPI), malah meliputi sikap profesional, sistem penyampaian cekap dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat secara berkesan.
“Kita mesti terus membudayakan prestasi tinggi dan beralih daripada kerja rutin kepada kerja yang memberi impak sebenar kepada kementerian dan masyarakat,” katanya.
Jamawi turut menekankan amalan toleransi sifar terhadap ketirisan, kecuaian dan penyalahgunaan kuasa dalam setiap urusan pentadbiran.
Beliau mengingatkan penerima APC supaya menjadi contoh terbaik serta sumber inspirasi kepada rakan sekerja dan generasi pelapis perkhidmatan awam.
“Kementerian akan terus memberi fokus kepada pembangunan modal insan menerusi latihan kompetensi, pemantapan kepimpinan dan pembudayaan inovasi.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap pegawai kekal relevan serta mampu menghadapi cabaran semasa sektor agromakanan.
“Saya berharap semua warga kementerian terus memperkasa kemahiran diri, menyokong agenda transformasi perkhidmatan, mengamalkan budaya kerja berpasukan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Majlis APC berkenaan turut menjadi platform menghargai pegawai dan kakitangan yang mempamerkan prestasi kerja cemerlang, integriti tinggi serta semangat perkhidmatan konsisten.
Jamawi merakamkan tahniah kepada semua penerima APC 2025 dan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti budaya kerja berprestasi tinggi semakin subur dalam kementerian.
Beliau berkata, kejayaan yang dicapai wajar dijadikan pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh dan bukannya titik akhir pencapaian.
“Kita bekerja bukan untuk anugerah semata-mata, tetapi demi amanah dan rakyat,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Timbalan Setiausaha Tetap (Perikanan dan Ternakan) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis APC MAFFI 2025, Maria David Edick serta ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



