MALAM GALA: Ewon menyempurnakan Malam Gala dan Legasi Pinknuari anjuran KUSIKK di SICC di sini.
KOTA KINABALU: Kejayaan usahawan wanita di bawah program Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sabah terus mencetus inspirasi apabila mencatatkan sifar peratus Portfolio At Risk (PAR), sekali gus membuktikan disiplin tinggi dalam pengurusan kewangan dan perniagaan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pencapaian itu menggambarkan komitmen kukuh usahawan wanita memastikan bayaran balik pinjaman dibuat sepenuhnya tanpa tunggakan.
“Saya menyampaikan rasa hormat dan bangga kepada usahawan Sahabat AIM Sabah atas pencapaian 0 peratus Portfolio At Risk (PAR) yang membawa maksud semua usahawan berjaya melunaskan pinjaman mereka.
“Situasi ini menunjukkan disiplin serta keupayaan wanita mengurus ekonomi keluarga dan perusahaan melalui Sahabat AIM,” katanya ketika berucap menyempurnakan Malam Gala dan Legasi Pinknuari anjuran Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kota Kinabalu (KUSIKK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Menurutnya, rekod bayaran balik yang bersih menjadi bukti keberkesanan program pembiayaan mikro dalam membantu wanita menjana pendapatan secara konsisten.
“Usaha itu bukan sekadar meningkatkan ekonomi keluarga, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam komuniti setempat.
“Program seperti ini memberi ruang kepada wanita berdikari, membina keyakinan diri dan mengembangkan perniagaan secara mampan,” katanya.
Ewon turut berkongsi beberapa kisah kejayaan usahawan yang pernah ditemuinya sebelum ini, termasuk peserta yang bermula secara kecil-kecilan sebelum berjaya mengembangkan operasi ke tahap lebih tinggi.
Katanya, pengalaman berkenaan wajar dijadikan contoh kepada peserta lain supaya terus berusaha dan berdaya saing.
“Dalam Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, pelbagai inisiatif disediakan bagi memperkasa ekosistem keusahawanan termasuk latihan, bimbingan serta akses pembiayaan.
“Sokongan berterusan daripada kerajaan negeri penting bagi memastikan lebih ramai wanita berani menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Pada majlis sama, beberapa anugerah keusahawanan disampaikan kepada usahawan cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan komitmen mereka.
Penerima anugerah merangkumi kategori individu serta blok yang menunjukkan rekod pengurusan kewangan terbaik.
Ewon berharap kejayaan Sahabat AIM dalam perusahaan masing-masing mampu menjadi pemangkin semangat kepada lebih ramai usahawan wanita di seluruh Sabah.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan golongan wanita mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
Beliau turut menjemput pemenang kategori individu serta ketua blok menghadiri sesi pertemuan khas minggu hadapan.
Sesi itu memberi ruang kepada peserta menyuarakan isu, cabaran dan cadangan secara langsung kepada kementerian.
Pada masa sama, insentif tambahan disediakan sebagai galakan kepada usahawan yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Ewon berkata, pendekatan turun padang penting bagi memastikan setiap dasar dan bantuan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
Majlis berkenaan menyaksikan kehadiran ratusan usahawan wanita Sahabat AIM sekitar Kota Kinabalu yang meraikan kejayaan bersama dalam suasana penuh semangat dan solidariti.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



