TANGKAP: Lima penunggang motosikal ditahan dalam operasi berkenaan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
LAHAD DATU: Polis menahan lima penunggang motosikal dan menyita 10 buah motosikal dalam Op Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, pada Sabtu
Operasi bersepadu itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dengan kerjasama Cawangan Khas (CK), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta balai polis dibawah pentadbiran IPD berkenaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre serta Jalan Lahad Datu-Sandakan/Tawau.
Katanya, lima lelaki berusia sekitar 20 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi sama, seramai 46 individu dan 35 motosikal diperiksa, manakala 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, polis turut menyita 10 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai kenderaan serta penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Dzulbaharin menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan operasi akan terus dipergiatkan bagi membendung kegiatan ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



