RAMPAS: Jauteh menunjukkan papan pemotong yang digunakan untuk menyorokkan bekalan syabu sebelum diseludup masuk ke Sabah.
PENAMPANG: Cubaan menyeludup dan mengedar dadah menggunakan taktik penyamaran baharu dengan menyembunyikan syabu dalam papan pemotong berjaya digagalkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah menerusi serbuan di sebuah rumah di Donggongon, di sini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan sekitar jam 11.26 malam, 6 Januari itu menahan dua lelaki warga tempatan ditahan ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa serbuan, kedua-dua suspek warga tempatan itu leka menyusun bungkusan plastik dan kotak.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 40 bungkusan plastik lutsinar bersaiz besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar keseluruhan 39.5 kilogram.
“Rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM1.26 juta dan mampu menampung kira-kira 112,857 kali penagihan sekali guna, sekali gus menggagalkan pengedaran dadah dalam jumlah besar ke pasaran tempatan,” katanya ketika sidang media di Timpohon Hall Pejabat JSJN Sabah.
Jauteh berkata, suspek pertama berusia 29 tahun bekerja sebagai pengurus pemasaran dan beralamat di Kuala Lumpur manakala suspek kedua berusia 28 tahun bekerja sebagai penjaga kaunter dan tinggal di Jalan Pudu Ulu, Kuala Lumpur.
“Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis benzo, manakala semakan rekod lampau menunjukkan seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod berkaitan kes jenayah dan imigresen.
“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Jauteh berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan laluan laut ke Sabah dengan bantuan syarikat penghantaran.
“Pihak sindiket menggunakan modus operandi dengan menyorokkan dadah dalam papan pemotong bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Setiap papan mengandungi 200 gram syabu dan pihak polis merampas 11 kotak yang mengandungi papan pemotong ini.
“Suspek yang ditahan berperanan sebagai individu yang menuntut bekalan dadah ini di syarikat penghantar barang sebelum mengedarkan semula kepada pengguna tempatan di negeri ini,” katanya.
PENERANGAN: Jauteh menerangkan bagaimana pihak pengedar memampatkan dadah sebelum diedarkan kepada pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pengurus kelab malam di Bundusan, Penampang pada 2 Januari lalu.
“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah jenis ekstasi dan ketamin sebelum membawa kepada serbuan susulan di sebuah kediaman di Bundusan Penampang pada hari sama.
“Serbuan susulan itu menemukan pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi, ketamin serta rokok disyaki mengandungi ketamin dengan anggaran berat keseluruhan lebih 280 gram dan nilai rampasan hampir RM26,000.
“Rampasan tambahan ini dianggarkan mampu menampung kira-kira 1,748 kali penagihan, selain membawa kepada sitaan sebuah kereta jenis sedan yang dipercayai digunakan bagi menyokong aktiviti pengedaran dadah,” katanya.
Jauteh berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Kejayaan operasi ini hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dan saya menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Masyarakat juga diminta menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN bagi membantu usaha membanteras ancaman dadah di negeri ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



