PRK KINABATANGAN, LAMAG SPR SARAN BAKAL CALON BUAT SEMAKAN AWAL

Gambar fail BERNAMA

KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyarankan bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag agar membuat semakan awal borang pencalonan.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata semakan itu boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum hari penamaan calon Sabtu ini serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

“Resit hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas penamaan calon hendaklah diserah dari 9 hingga 10 pagi oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

Khairul Shahril juga berkata bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik dikehendaki mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila menyerahkan kertas penamaan calon.

“Calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

“SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.

SPR menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK pada 24 Jan manakala pengundian awal pada 20 Jan ini.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mempunyai 48,722 pemilih berdaftar merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 polis serta pasangan sebagai pengundi awal.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

TRAGEDI DI JALAN RAYA: KESEDARAN MENGHORMATI GARISAN BERKEMBAR

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang gemar memotong kenderaan di garisan berkembar merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan maut. Tindakan …

BAHAYA KENDERAAN LEBIH MUATAN: PATUHI HAD DEMI KESELAMATAN JALAN RAYA

Isu kenderaan membawa lebih muatan (overloading) kini menjadi fokus utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana risiko impak negatifnya terhadap …

ESSCOM REKOD TINDAKAN, RAMPASAN RM407,644 DI BELURAN

RAMPASAN: Antara barang rampasan yang diperoleh dalam operasi berkenaan. BELURAN: Operasi Bersepadu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari …