TAKLIMAT: Joachim merakamkan gambar bersama semasa sesi taklimat kementerian.
KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menegaskan komitmen tinggi untuk mempercepat dan memperkukuh pembangunan infrastruktur di seluruh negeri demi memastikan manfaat besar dapat dinikmati semua lapisan rakyat.
Katanya, keutamaan kementerian bertumpu kepada kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan projek yang lebih cekap, teratur dan berimpak tinggi.
“Penyampaian yang cekap bukan sekadar bergantung kepada perancangan yang rapi, malah memerlukan koordinasi berterusan di semua peringkat pelaksanaan.
“Saya juga tekankan pentingnya kerjasama berpasukan yang lebih kukuh antara semua jabatan dan agensi didalam kementerian bagi menjamin kejayaan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan projek infrastruktur di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi taklimat menyeluruh pertama bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Selasa lalu iaitu beberapa hari selepas memulakan tugas rasmi di kementerian itu pada 3 Disember lalu.
Ketibaan beliau ke ibu pejabat KKRU disambut dua Timbalan Menteri, Datuk Limus Jury dan Datuk Sri Ruddy Awah selain Setiausaha Tetap KKRU Datuk Ridhwan Roger Linus serta Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Jasni Abu Suffyan Omar.
Turut menyambut kehadiran beliau ialah para pengarah jabatan dan pegawai kanan kementerian sebelum Joachim meneruskan proses pendaftaran biometrik sebagai simbol rasmi permulaan tugas baharu.
Sesi taklimat turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah, Sabah Electricity serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Taklimat menyentuh keseluruhan fungsi teras KKRU termasuk penyelenggaraan dan penaiktarafan jalan raya, penambahbaikan kemudahan awam serta perancangan, penyelarasan dan pengurusan utiliti asas meliputi bekalan elektrik dan air.
Selain itu, setiap jabatan turut membentangkan hala tuju strategik serta keutamaan pelaksanaan projek bagi tahun mendatang sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri.
Pelantikan Joachim sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah dijangka memberi nafas baharu kepada usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas serta mempercepat agenda pembangunan negeri secara lebih tersusun.
Peranannya sebagai Timbalan Ketua Menteri I turut memperkukuh lagi penyelarasan antara kementerian bagi memastikan agenda pembangunan dapat digerakkan secara menyeluruh.
KKRU mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kemudahan asas di seluruh Sabah berada pada tahap terbaik, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian berterusan.
Melalui pendekatan kepimpinan yang menekankan kerjasama, ketelusan dan kecekapan, kementerian itu disasar mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek demi kesejahteraan rakyat Sabah.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



