OPERASI: JIM Sabah ketika menjalankan operasi di daerah Tawau.
TAWAU: Seramai 86 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada 3 dan 5 Disember baru-baru ini.
Operasi berkenaan dijalankan hasil risikan hampir seminggu serta maklumat awam mengenai pergerakan warga asing mencurigakan, sebelum pasukan operasi digerakkan bagi pemeriksaan menyeluruh.
Menurut kenyataan JIM Sabah, seramai 36 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Tawau dan Depot Imigresen Tawau terbabit dalam operasi itu.
“Sebanyak 200 individu diperiksa dan 86 daripadanya, majoriti warga Filipina dan Indonesia, ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah atau pas yang masih berkuat kuasa.
“Mereka turut disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
JIM Sabah berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Agensi itu turut menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PTI.
“Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu keselamatan.
“JIM Sabah menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu mengekang kemasukan warga asing tanpa izin ke negeri ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



