Ayer Keroh – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kini dalam usaha untuk membangunkan Kompleks Wakaf Balai Islam lengkap dengan fasiliti masjid dan pusat komuniti di Pulau Besar.
Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, projek Kompleks Wakaf Balai Islam di Pulau Besar itu dianggarkan menelan kos RM63 juta.
“Kita (Baitulmal MAIM) sedang giat mengumpul dana dan setakat ini jumlah terkumpul adalah sekitar RM3 juta. Kerja fizikal kemudahan ini akan dimulakan apabila mencapai jumlah kutipan minimum yang membolehkan membolehkan aspek teknikal dan perancangan fizikal dilaksanakan.
“Meskipun masih jauh untuk mencapai jumlah diperlukan, kita akan berusaha untuk menyegerakan pembinaannya. Jika dana mencukupi untuk fasa awal, kita akan mulakan pelantikan konsultan, penyediaan pelan dan kerja tapak tanpa perlu menunggu keseluruhan RM63 juta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin berkata pembinaan kompleks itu dijangka memberi manfaat kepada komuniti Islam serta pengunjung Pulau Besar yang merupakan destinasi pelancongan utama di negeri ini.
“Pembangunan wakaf ini juga merupakan salah satu usaha mengangkat wakaf sebagai instrumen pembangunan jangka panjang umat Islam di Melaka.
“Kita harap orang ramai yang sudi menyumbang bagi pembinaan kompleks ini boleh ke platform sosial media MAIM kerana di situ ada maklumat yang diperlukan,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



