KEMPEN: Kempen pengurangan saman trafik sehingga 70 peratus tamat 30 Disember.
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Kempen Pengurangan Bayaran Saman Trafik sehingga 70 peratus hingga 30 Disember ini bagi memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman tertunggak dengan lebih mudah dan menjimatkan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kempen itu diadakan selaras dengan arahan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM serta pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri pada 22 Oktober lalu.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan menggalakkan orang awam menjelaskan saman trafik tertunggak pada kadar lebih rendah di samping menanam kesedaran tentang kepatuhan undang-undang jalan raya dan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau menjelaskan, bayaran saman boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID atau secara fizikal di Kaunter Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta di semua Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara.
“Tawaran pengurangan ini tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable/NC), manakala bayaran tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30.
“Irang ramai dinasihatkannsupaya tidak menunggu hingga ke tarikh akhir kempen bagi mengelakkan kesesakan di kaunter pembayaran menjelang tamat tempoh inisiatif ini,” katanya.
Katanya, kempen ini bukan sekadar memberi kelegaan kepada rakyat, malah membantu membentuk sikap lebih bertanggungjawab dan berdisiplin di jalan raya, seterusnya menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan.
Tambahnya, IPD Kota Kinabalu akan terus melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan trafik bagi memastikan keselamatan serta pematuhan undang-undang lalu lintas di bandar raya ini kekal berada pada tahap terbaik.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



