VICTOR
LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) kini memperkenalkan penggunaan istilah baharu ‘Kawasan Sabah Timur’ bagi menggantikan terminologi lama ‘Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah’.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Datuk Victor Sanjos berkata, langkah itu dibuat bagi menggambarkan skop kawalan dan tanggungjawab ESSCOM yang lebih menyeluruh serta tidak lagi tertumpu kepada kawasan pantai timur semata-mata.
Beliau berkata, istilah baharu berkenaan lebih tepat kerana merangkumi tiga domain utama di bawah tanggungjawab ESSCOM iaitu darat, laut dan udara.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada rakan media dan pengkaji bahawa selama ini kita sering merujuk kawasan ini sebagai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah.
“Hari ini, saya ingin perbetulkan kita ganti dengan terminologi ‘Kawasan Sabah Timur’ yang merangkumi domain darat, laut dan udara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Victor berkata, penggunaan istilah itu penting bagi memastikan kefahaman lebih tepat mengenai skop sebenar tanggungjawab ESSCOM di kawasan berkenaan.
Menurutnya, terminologi rasmi yang sepatutnya digunakan juga bukan lagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, sebaliknya Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) yang membawa maksud Kawasan Selamat Sabah Timur.
“Perubahan ini akan membantu menyeragamkan penggunaan istilah rasmi selain memberi gambaran lebih jelas terhadap peranan dan tanggungjawab ESSCOM di lapangan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



