Klebang – Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Festival Layang-layang Antarabangsa 2025 dan Karnival Keusahawanan Negeri Melaka yang diadakan di Encore Melaka bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, sambutan luar biasa itu direkodkan sepanjang tiga hari karnival berlangsung iaitu pada 26 hingga 28 September.
Menariknya, beliau memaklumkan, festival kali ini turut menampilkan 120 pelayang bukan sahaja dari dalam negara, bahkan luar negara, di mana antara keunikan yang dibawa adalah layang-layang bercahaya pada waktu malam.
Di samping itu, jelas beliau, Karnival Keusahawanan Negeri Melaka yang disekalikan pada festival itu turut mendapat sambutan hebat apabila dianggarkan mencatat nilai jualan lebih RM100,000 oleh 50 usahawan yang mengambil bahagian.
“Gabungan dua acara iaitu Festival Layang-Layang dan Karnival Usahawan ini terbukti memberi situasi menang-menang kerana tempiasnya bukan sahaja dirasai sektor pelancongan tetapi juga usahawan tempatan yang terlibat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Layang-Layang Antarabangsa dan Karnival Keusahawanan Negeri Melaka di Encore Melaka, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Allex memaklumkan, menerusi sesi padanan perniagaan membabitkan 133 usahawan dengan syarikat peruncitan yang diadakan pada karnival tersebut, ia berjaya menunjukkan hasil yang amat baik dengan potensi nilai jualan mencecah RM14.97 juta.
“Apapun, kita akan terus membantu usahawan dengan membuka lebih banyak peluang bagi membolehkan produk mereka dapat dipasarkan di pasaran lebih meluas,” ujarnya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



