ALBUM: Hajiji (depan, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima bantuan pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM70 juta dalam bentuk bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh dan swasta, kuil serta badan keagamaan bukan Islam, yang akan ditingkatkan kepada RM90 juta tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) dan pemegang sijil itu layak memohon biasiswa negeri serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Kita bukan sahaja mengiktirafnya, malah mengambil tindakan. Tadi saya telah membisikkan kepada Menteri Kewangan bahawa kita juga akan mempertimbangkan permohonan daripada pemegang sijil ini untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Malam Ramah Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh dan sekolah menengah persendirian Cina serta badan keagamaan bukan Islam, di sini kelmarin.
Katanya, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, pihaknya merancang dan bekerja keras menangani sebarang isu, sambil terus mengambil berat serta memastikan semua komuniti, tanpa mengira warna kulit atau pegangan agama, mendapat perlindungan yang adil dan saksama.
“Itulah sebabnya saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana institusi, NGO atau persatuan yang memerlukan bantuan, walaupun ia bergantung juga kepada kemampuan kerajaan dan ketersediaan dana.
“Semangat perpaduan dan kebersamaan inilah yang menjadi prinsip panduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Negeri sejak membentuk kerajaan lima tahun lalu,” katanya.
Selain daripada peruntukan RM70 juta itu, Hajiji berkata beliau juga telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri, termasuk bantuan kepada sekolah Cina dan persatuan kebudayaan Cina di Sabah, seperti untuk Pesta Tahun Baharu Cina, pembelian kepala singa, Pesta Bot Naga, serta bantuan kepada gereja dan lain-lain.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menyokong aktiviti sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, beliau amat memahami masalah dan keperluan rakyat.
“Antara isu panas yang dibincangkan sekarang ialah bekalan air. Kekurangan air berlaku di pelbagai tempat.
“Masalah ini timbul apabila kerajaan negeri sebelum ini menamatkan kontrak konsesi bekalan air di Sabah.
“Akibat daripada penamatan itu, kerajaan negeri sekarang terpaksa membayar pampasan kepada syarikat yang terlibat berjumlah RM315 juta,”katanya.
Namun beliau memberi jaminan bahawa sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, pihaknya terus merancang dan bekerja keras menyelesaikan isu bekalan air, dengan sebanyak 18 projek pembangunan bekalan air sedang dilaksanakan untuk memastikan bekalan mencukupi di daerah-daerah negeri ini.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pinjaman sebanyak RM300 juta untuk tujuan ini,” katanya.
Antara projek yang sedang dilaksanakan sejak dua tahun lalu ialah Loji Rawatan Air Kogopon bernilai RM365 juta di Papar, dengan kapasiti sehingga 80 juta liter sehari (MLD).
“Sebaik sahaja siap pada 2026, ia akan menyelesaikan masalah bekalan air di Papar, Kinarut dan Putatan.
“Projek Empangan Air Cinta Mata bernilai RM300 juta dengan kapasiti 169 MLD di Tawau juga dijangka siap menjelang 2027.
“Untuk makluman, kerja-kerja pembinaan, pembaikan dan penaiktarafan loji rawatan air yang sedang dilaksanakan di seluruh Sabah menelan kos keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.
Beliau menambah bahawa krisis kekurangan air di Sandakan, Lahad Datu dan Semporna juga menjadi keutamaan.
Sementara itu katanya, bekalan air di Bandaraya Kota Kinabalu dijangka bertambah baik sebaik sahaja Loji Rawatan Air Telibong II siap sepenuhnya.
Menurutnya, loji itu kini sudah mengagihkan 160 MLD ke bandar raya, KKIP dan kawasan Tuaran.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menggunakan Projek Hidroelektrik Ulu Padas bagi penjanaan kuasa.
Manakala katanya, Skim Bekalan Air Ulu Padas akan menyediakan kapasiti sebanyak 6,000 MLD air, khusus bagi memenuhi keperluan Pantai Barat Sabah. Projek ini yang dijangka siap pada 2030 sedang dibangunkan melalui usaha sama antara syarikat milik negeri, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Gamuda Berhad, pelaksana Projek Hidroelektrik Ulu Padas, bersama Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.
Sebagai langkah ke hadapan untuk menambah baik bekalan air negeri, Hajiji berkata, Jabatan Air akan dikorporatkan.
Hajiji berkata, isu kekurangan air turut diperburuk oleh sambungan haram di penempatan setinggan.
“Akibatnya, Sabah antara negeri yang mempunyai kadar Air Tidak Berhasil tertinggi, mencecah sehingga 57 peratus.
“Kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan bekalan air akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan.
“Insya-Allah, ia akan pulih sepenuhnya menjelang tahun depan,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program untuk meletakkan Sabah pada landasan pembangunan yang betul melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Dengan pelaksanaan Dasar Halatuju Pembangunan yang jelas, bersama pendekatan yang tepat, ekonomi Sabah kini sedang pulih dan, syukur alhamdulillah, berada di landasan yang betul.
“Pertumbuhan ekonomi telah kembali positif berikutan peningkatan kadar pelaburan, di samping pertumbuhan sektor pelancongan yang semakin baik.
“Kita mempunyai visi dan kemahuan politik untuk melakukannya. Kita telah menyediakan segala-galanya untuk bergerak maju demi membawa Sabah dan rakyatnya ke tahap kecemerlangan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



