SUMBANGAN: James (kiri) menyerahkan simbolik sumbangan seekor anjing pengesan dadah daripada PEMADAM Negeri Sabah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Kontinjen Sabah yang disaksikan oleh Jauteh (tengah).
KOTA KINABALU: Inisiatif Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sabah menyumbangkan seekor anjing pengesan dadah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Kontinjen Sabah membantu dalam memperkasa usaha membanteras dadah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu menunjukkan komitmen bersama bahawa perjuangan membanteras dadah tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.
Beliau berkata, sebaliknya usaha itu menuntut sokongan menyeluruh daripada pelbagai agensi dan lapisan masyarakat.
“Kita maklum dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara. Ia bukan lagi ancaman tradisional, tetapi telah berevolusi menjadi jenayah yang lebih kompleks dan berlapis, melibatkan sindiket antarabangsa, teknologi komunikasi moden serta pelbagai taktik baharu yang licik.
“Antara kebimbangan utama kita hari ini ialah bagaimana sindiket ini menjadikan golongan belia sebagai sasaran utama melalui platform media sosial dan ruang digital.
“Jika generasi muda terjebak, maka masa depan negeri dan negara juga akan tergadai,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Anjing Pengesan Dadah (K9) kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.
James berkata, kehadiran Unit K9 amat signifikan kerana keupayaan luar biasa anjing pengesan dalam mengesan dadah.
Menurutnya, walaupun dadah disembunyikan dengan teknik paling halus, namun terbukti Unit K9 membantu pihak polis dalam menggagalkan banyak cubaan penyeludupan.
Beliau berkata, sumbangan itu bukan sahaja menambah kekuatan logistik kepada JSJN, tetapi juga meningkatkan tahap keyakinan masyarakat bahawa pihak berkuasa sentiasa melangkah setapak ke hadapan dalam melindungi keselamatan awam.
“PEMADAM Negeri Sabah sentiasa konsisten mendukung agenda pencegahan dadah di negeri ini.
“Selain menyokong agensi penguatkuasaan, kami juga memberi penekanan kepada pendidikan, advokasi dan kesedaran masyarakat.
“Ini kerana usaha membanteras dadah tidak akan berjaya tanpa kerjasama rakyat di akar umbi,” jelasnya.
James berkata, setiap ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, serta generasi muda sendiri mesti menjadi mata dan telinga yang sentiasa peka terhadap bahaya dadah.
Katanya, usaha membina komuniti yang bebas dadah adalah tanggungjawab kolektif dan ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keselamatan dan nilai murni sebagai asas pembangunan bangsa.
Sehubungan itu, pihaknya berharap penyerahan anjing pengesan dadah itu menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat dan lebih berkesan antara PEMADAM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh masyarakat.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, Unit K9 Polis Kontinjen Sabah sebelum ini mempunyai lapan ekor anjing termasuk seekor anjing khas untuk narkotik.
Menurutnya, permohonan untuk menambah bilangan anjing untuk Unit K9 juga sudah dibuat memandangkan keperluan untuk penugasan anjing secara efisien.
“Jarak daerah yang mempunyai lapangan terbang seperti Tawau, Lahad Datu dan Sandakan agak jauh dan kalau seekor anjing sahaja memang tidak efisien.
“Sekurang-kurangnya ada lima ekor anjing pengesan dadah supaya setiap lapangan terbang ada anjing dan begitu juga di pelabuhan, kita boleh gunakan untuk satu daerah, satu ekor anjing,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



