Professor Dr Mohd Shukri (tengah) bersama sebahagian warga MSU College Sabah di program MSU Sabah Ethnic Festival 2.0
KOTA KINABALU: Dalam mendepani arus globalisasi dunia yang cukup pesat pada ketika ini, elemen tradisi dan budaya perlu sentiasa dipertahan dan dipelihara oleh semua pihak agar ianya dapat diwariskan kepada generasi yang berikutnya.
Pihak institusi pengajian tinggi turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, malah pemantapan jati diri dan pengukuhan nilai celik budaya juga perlu diberikan perhatian khusus dalam usaha membentuk graduan holistik dan berdaya saing tinggi.
Menerusi program MSU Sabah Ethnic Festival 2.0 anjuran MSU College Sabah, ianya berhasrat untuk melahirkan generasi muda yang memiliki semangat patriotisme serta sentiasa menghargai dan menyanjung tinggi khazanah dan warisan kebudayaan negara ini.
Sabah khususnya, memang cukup sinonim dengan keunikan masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, aliran kepercayaan dan latar belakang budaya yang berbeza, namun sentiasa hidup aman dan harmoni sejak bertahun lamanya.
Program tersebut yang dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dan juga Hari Sabah yang diraikan pada 31 Ogos, telah berlangsung dengan penuh meriah dan warna-warni di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Presiden dan Pengasas Management and Science University (MSU) Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid dan turut dihadiri Naib Canselor MSU, Professor Puan Sri Datuk Dr. Junainah Abd Hamid.
Penganjuran MSU Sabah Ethnic Festival 2.0 merupakan tanda komitmen berterusan pihak kolej terhadap pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Antara agenda yang ingin dicapai termasuklah SDG 3 (Kesihatan Yang Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Komuniti dan Bandar Yang Lestari), SDG 16 (Keadilan, Keamanan dan Institusi Yang Kukuh) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).
Sepanjang berlangsungnya program tersebut, aktiviti yang dijalankan merangkumi Ethnic Creative Dance Competition, Ethnic Explorace Competition, Ethnic Fashion Show Competition dan Entrepreneurship Booth.
Menariknya, ia tidak hanya disertai oleh seluruh warga kolej, malah turut melibatkan penyertaan lebih daripada 200 orang pelajar sekolah dari sekitar daerah Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Tuaran.
Turut berlangsung adalah majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MSU College Sabah dan Luma Hotel Kota Kinabalu bagi merintis kerjasama strategik di dalam pelbagai bidang termasuklah akademik, latihan industri, aktiviti jalinan komuniti dan lain-lain lagi.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Boreno Online