INISIATIF KESELAMATAN SIBER MALAYSIA RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Perkembangan teknologi digital dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dalam talian telah menjadikan keselamatan siber sebagai aspek penting dalam melindungi keselamatan nasional, kedaulatan data dan kestabilan ekonomi negara. Seiring usaha menjadikan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) dan pusat data serantau, kerajaan terus memperkukuh sistem pertahanan digital melalui pelbagai inisiatif strategik.

Usaha tersebut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Malaysia ditempatkan dalam Tier 1 iaitu kategori tertinggi Indeks Keselamatan Siber Global (GCSI) 2024 oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Penilaian ini merangkumi lima bidang utama, iaitu perundangan, langkah teknikal, pengurusan institusi, pembangunan kapasiti dan kerjasama antarabangsa.

Penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024 turut menjadi langkah penting dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur maklumat kritikal negara. Kerjasama antarabangsa juga dipertingkatkan melalui penyertaan Majlis Eropah, INTERPOL dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), termasuk penganjuran Cyber Games 2025 serta pengoperasian Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Serantau ASEAN (ASEAN Regional CERT).

Bagaimanapun, peningkatan ancaman jenayah siber memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak. Agensi seperti NACSA, CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan memperkukuh kesiapsiagaan serta penguatkuasaan keselamatan digital.

Pengguna juga perlu mengamalkan langkah keselamatan seperti menggunakan pengesahan berbilang faktor (MFA), kata laluan yang kukuh, mengelakkan pemasangan aplikasi daripada sumber tidak sah serta mengemas kini perisian secara berkala. Institusi perbankan, syarikat telekomunikasi dan sektor korporat pula perlu meningkatkan pelaburan dalam sistem pertahanan siber serta memperluas kempen kesedaran anti-penipuan.

Kesimpulannya, keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Pengukuhan undang-undang, teknologi, kerjasama antarabangsa serta kesedaran pengguna penting bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, berdaya tahan dan mampan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2026/11/1722906/inisiatif-keselamatan-siber-malaysia-raih-pengiktirafan

Artikel/Berita Terkini

MYSIREN TIDAK AKSES DATA PERIBADI PENGGUNA DAN TIDAK MEMERLUKAN MUAT TURUN APLIKASI

Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mempunyai akses kepada data peribadi …

INISIATIF KESELAMATAN SIBER MALAYSIA RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Perkembangan teknologi digital dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dalam talian telah menjadikan keselamatan siber sebagai aspek penting dalam melindungi keselamatan nasional, …

PERISIKAN SPRM PEMANGKIN PEMBONGKARAN KES RASUAH DAN PENYELEWENGAN

Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting dalam mengesan dan membangunkan maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan serta salah …