Jangan terus salahkan nasi kandar atau kopi bila perut asyik memulas setiap petang, kalau dalam laci meja ada sebekas gula-gula getah “sugar free” yang dikunyah tanpa henti. Ramai pilih gula-gula getah bebas gula untuk jaga gigi atau hilangkan bau mulut. Sebatang lepas lunch, sebatang lepas mesyuarat, sebatang lagi masa memandu balik. Tak sedar, dah berbelas batang sehari.
Masalahnya bukan gula. Masalahnya pengganti gula. Banyak produk bebas gula guna pemanis bernama sorbitol. Rasanya manis, tapi usus kecil tak dapat menyerapnya dengan baik. Sebab itu sorbitol ada sifat julap. Sebatang gula-gula getah bebas gula boleh mengandungi kira-kira 1.25 gram sorbitol. Masalah perut boleh bermula sekitar 5 gram sehari, iaitu sekitar empat batang, dan jumlah ini cepat terkumpul bila kita ambil beberapa produk bebas gula sehari.
Dalam satu laporan kes perubatan, doktor merawat dua pesakit yang cirit-birit kronik dengan berat badan turun sekitar 20% daripada biasa. Seorang wanita muda mengambil 18 hingga 20 gram sorbitol sehari daripada gula-gula getah. Seorang lelaki mengunyah 20 batang sehari dan makan gula-gula, jumlahnya sekitar 30 gram.
Bila mereka berhenti mengambil sorbitol, cirit-birit berhenti dan berat badan naik semula. Kes seteruk itu jarang. Tapi perut tak selesa kerana sorbitol jauh lebih biasa daripada yang kita sangka.
Kalau perut kerap memulas tanpa sebab jelas, semak label gula-gula getah, gula-gula dan snek “bebas gula” yang kita ambil. Cari perkataan sorbitol, dan kurangkan bilangannya selama seminggu sambil perhatikan perut. Kalau cirit-birit berterusan, ada darah, atau berat turun tanpa sebab, jumpa doktor dan beritahu juga apa yang kita kunyah setiap hari. Bebas gula tak bermaksud bebas kesan.
Sumber:Publichealthmalaysia



