Pada 4 November dalam tahun 1963, DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli merasmikan Pembukaan Persidangan Persatuan Parlimen Negara-Negara Komanwel Ke-9 di Parlimen, Kuala Lumpur. Persidangan yang kedua diadakan di Asia dan pertama kali di Malaysia ini dihadiri oleh lebih 500 orang perwakilan dari 29 buah negara Komanwel. Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan harapannya supaya negara-negara Komanwel terus bekerjasama di dalam segala bidang khasnya di bidang ekonomi dan keselamatan. Persidangan selama seminggu ini bertujuan untuk membincangkan masalah masalah sosial, ekonomi dan politik. Soal keamanan dan pencerobohan asing dalam ekonomi dan politik adalah perkara hangat dibincangkan sepanjang persidangan tersebut.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



