Malam melabuhkan tirainya, dan ketika kelopak mata mula rapat, roh kita seolah-olah dibawa terbang ke satu alam yang asing namun terasa begitu nyata. Alam itu ialah alam mimpi. Sejak zaman-berzaman, manusia sering tertanya-tanya apabila terjaga daripada lenyak: adakah apa yang dialami sebentar tadi sebuah petanda masa depan, sekadar mitos ciptaan minda, atau pun mainan tidur yang tidak membawa apa-apa erti? Hakikatnya, mimpi ialah sebuah misteri yang berdiri di atas sempadan ketiga-tiga elemen tersebut.
Dari sudut pandang psikologi moden, mimpi sering kali bertindak sebagai refleksi minda bawah sedar (hadithun nafsi). Apabila kita terlalu memikirkan tentang bebanan kerja, konflik peribadi, atau kerinduan terhadap seseorang, memori tersebut akan diproses semula oleh otak lalu diterjemahkan dalam bentuk visual sewaktu tidur. Dalam konteks ini, mimpi bukan lagi satu keajaiban ghaib, melainkan cerminan kepada kesihatan mental dan emosi diri kita sendiri. Ia menjadi penunjuk bahawa minda kita sedang cuba menguruskan sesuatu yang belum selesai di alam realiti.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat kita kaya dengan tafsiran berbaur mitos yang diwarisi turun-temurun. Sebut sahaja mimpi dipatuk ular, minda bawah sedar orang melayu cepat sahaja mengaitkannya dengan petanda akan dipinang orang. Begitu juga dengan igauan gigi patah yang sering digeruni kerana kononnya membawa berita duka tentang kematian ahli keluarga. Di sinilah mitos memainkan peranannya sebagai medium budaya untuk memberi makna kepada perkara yang tidak terjawab, biarpun sebahagian besarnya langsung tidak mempunyai asas saintifik mahupun sandaran agama yang kukuh.
Di sebalik tabir mitos dan mainan minda, Islam sendiri mengiktiraf bahawa mimpi boleh menjadi sebuah petanda benar (ru’ya sadiqah). Mimpi jenis ini ialah ilham atau petunjuk yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya, biasanya berlaku pada waktu-waktu yang tenang seperti sebelum subuh. Mimpi yang benar sering kali datang dengan jalan cerita yang sangat jelas, tersusun, dan meninggalkan kesan emosi yang mendalam sebaik sahaja terjaga. Sebaliknya, mimpi yang datang dalam bentuk ngeri dan mengganggu fikiran pula dikategorikan sebagai mainan syaitan yang bertujuan untuk menimbulkan rasa gelisah dalam sanubari manusia.
Kesimpulannya, mimpi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh, tetapi ia juga bukanlah satu hukum wajib yang mesti menentukan hala tuju hidup kita di alam nyata. Sama ada ia satu petanda yang membawa mesej, mitos yang sekadar menghiburkan, atau cerminan emosi diri, cara terbaik adalah dengan menyambut mimpi baik dengan rasa syukur dan melepaskan mimpi buruk dengan doa perlindungan. Akhir kata, jadikanlah mimpi itu sebagai penyeri tidur, bukannya bebanan yang membelenggu minda apabila siang menjelma.



