MESYUARAT: Hajiji (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (kiri) sebelum mesyuarat MTPNg di Menara Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang tahun ini, manakala prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di negeri itu meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan kementerian, jabatan dan agensi pelaksana dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah pada 10 Ogos lalu hanya mencatatkan 52.07 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menjayakan pelaksanaan sesebuah projek dan prestasi positif ini wajar diteruskan.
“Antara projek yang berjaya disiapkan ialah Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana perlu mempergiat usaha bagi memastikan baki peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.
Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang masih mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan kekangan pelaksanaan sehingga berisiko mengalami kelewatan dan menjadi projek sakit.
Beliau berkata, isu membabitkan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan dan pengurusan kontrak perlu dikenal pasti serta ditangani secara proaktif menerusi penyelarasan berkesan antara agensi berkaitan.
“Setiap peruntukan pembangunan adalah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.
“Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, meningkat berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Antara projek utama yang diberi keutamaan ialah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, selain usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik menerusi projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan serta Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang,” katanya.
Menurutnya, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak turut menjadi langkah penting untuk meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran serta menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada pelajar.
Sehubungan itu, beliau mahu semua kementerian dan agensi berkaitan membuat persediaan rapi bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keutamaan dan jadual ditetapkan.
Hajiji turut menegaskan bahawa mesyuarat MTPNg perlu dimanfaatkan sebagai platform mencari penyelesaian terhadap isu pelaksanaan projek, bukan sekadar membincangkan masalah yang dihadapi.
“Kita perlu bergerak daripada sekadar membincangkan masalah kepada tindakan yang lebih jelas.
“Saya yakin melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta komitmen seluruh jentera pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat terus dipacu secara mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan pembangunan negeri bukan hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana pembangunan itu mampu meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh Sabah.
Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, sambil berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan dengan berkes
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



