REDANG ANTARA 6 PULAU UTAMA NEGARA ALAMI TEKANAN PERSEKITARAN SERIUS

KUALA LUMPUR: Enam pulau utama di negara ini termasuk Pulau Redang mengalami tekanan persekitaran yang serius dan kemerosotan kesihatan ekosistem terumbu karang akibat fenomena kelunturan.

Pulau berkenaan adalah Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang serta Pulau Payar di Kedah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pemantauan menunjukkan penurunan peratusan litupan karang hidup (LCC) dan peningkatan kadar kematian karang selepas fasa kelunturan akibat peningkatan suhu permukaan laut yang mencapai 32°C hingga 35°C.

Katanya, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memandang serius isu itu kerana terumbu karang berperanan penting sebagai habitat, kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan marin serta menyokong kelestarian sumber perikanan negara.

“Bagi menangani keadaan ini, kementerian melaksanakan pendekatan bersepadu yang merangkumi perlindungan kawasan, pemulihan habitat, penguatkuasaan dan tindakan perubahan iklim.

“Antaranya, tindakan perubahan iklim dan restorasi habitat serta pewartaan Kawasan Perlindungan Marin (MPA),” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta menyatakan status kesihatan ekosistem terumbu karang di perairan negara serta langkah pemuliharaan dilaksanakan bagi kawasan dikenal pasti mengalami tekanan ekologi tinggi termasuk mekanisme menetapkan had kapasiti ekologi dan kawalan terhadap aktiviti manusia berisiko menjejaskan terumbu karang.

Mohamad berkata, seluas 29,844.08 kilometer persegi kawasan perairan negara diwartakan sebagai MPA setakat Jun lalu.

Katanya, jumlah itu bersamaan 5.54 peratus daripada sasaran melindungi 10 peratus kawasan perairan negara menjelang 2030.

“MPA diwartakan bagi melindungi habitat marin yang sensitif dan bernilai tinggi, termasuk terumbu karang terdedah kepada tekanan ekologi,” katanya.

Mohamad berkata kerajaan turut memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) bagi membendung aktiviti penangkapan ikan yang merosakkan dan ancaman terhadap terumbu karang.

“Secara khusus, Seksyen 43 menjadikan perbuatan tertentu dalam taman laut atau rizab laut tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah sebagai kesalahan.

“Ia termasuk mengambil karang, membuang pencemar, memusnahkan habitat serta melabuhkan vesel dengan kaedah yang dinyatakan dalam seksyen berkenaan,” katanya.

Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/10/1678904/redang-antara-6-pulau-utama-negara-alami-tekanan-persekitaran-serius?shem=dsdf,sharefoc,agadiscoversdl,,sh%2Fx%2Fdiscover%2Fm1%2F4

Artikel/Berita Terkini

EVOLUSI SISTEM PEMBAYARAN TOL DI MALAYSIA (19802026)

Sistem pembayaran tol di Malaysia telah mengalami transformasi yang signifikan demi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik. Berpandukan maklumat sahih Lembaga Lebuhraya …

KERAJAAN ARAH HENTI GUNA APLIKASI MILIK ISRAEL SERTA-MERTA

PUTRAJAYA – Kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan Israel, Waze serta-merta. Arahan itu dimaklumkan …

REDANG ANTARA 6 PULAU UTAMA NEGARA ALAMI TEKANAN PERSEKITARAN SERIUS

KUALA LUMPUR: Enam pulau utama di negara ini termasuk Pulau Redang mengalami tekanan persekitaran yang serius dan kemerosotan kesihatan ekosistem …