Di dalam dunia yang semakin kompleks, ancaman keselamatan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang jelas dan mudah dikenal pasti. Ada kalanya, ia tersembunyi di sebalik maklumat yang kelihatan benar, tawaran yang meyakinkan atau tindakan yang dianggap sebagai biasa. Keadaan ini menuntut masyarakat bukan sahaja berupaya melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka malah mempunyai keberanian untuk menilai sesuatu perkara daripada sudut pandang yang berbeza.
Seiring dengan perkembangan era digital pada hari ini, penyebaran maklumat berlaku dengan pantas sehingga sesuatu yang belum dipastikan kesahihannya boleh dipercayai sebagai fakta. Maklumat palsu, penyamaran identiti dan manipulasi persepsi boleh dimanfaatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya individu, mencetuskan keresahan serta menjejaskan kepercayaan masyarakat. Apabila sesuatu maklumat diterima tanpa penelitian, masyarakat bukan sahaja berisiko menjadi mangsa malah boleh menjadi perantara yang menyebarkan ancaman tersebut kepada orang lain.
Justeru itu, belajar melihat bermaksud membina keupayaan untuk memerhati, memahami konteks dan menyemak kesahihan sebelum membuat keputusan. Berani melihat secara berbeza pula menuntut kesediaan untuk mempersoalkan perkara yang meragukan, mencabar tanggapan yang tidak berasas dan tidak menerima sesuatu semata-mata kerana ia dipercayai oleh orang ramai. Sikap ini bukan bermaksud mempertikaikan segala-galanya sebaliknya membezakan antara kepercayaan yang berasas dengan andaian yang boleh membawa kemudaratan.
Dari sudut keselamatan negara, pemikiran kritis merupakan sebahagian daripada benteng pertahanan masyarakat. Masyarakat yang berupaya menilai maklumat secara rasional lebih bersedia menghadapi manipulasi, mengesan percubaan penipuan dan mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. Kesedaran ini perlu disertai tanggungjawab untuk mengesahkan maklumat melalui sumber yang sahih serta melaporkan perkara mencurigakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Akhirnya, keselamatan bukan hanya bergantung pada keupayaan mengesan ancaman tetapi juga pada kebijaksanaan memahami bagaimana ancaman itu terbentuk dan berkembang. Kita perlu belajar melihat sebelum membuat kesimpulan, berfikir sebelum bertindak dan berani mengubah perspektif apabila berhadapan dengan fakta yang baharu. Ini kerana dengan ketidakpastian, keupayaan melihat secara berbeza boleh menjadi langkah pertama untuk melindungi diri, masyarakat dan negara.
Sumber: https://journal.uptm.edu.my/index.php/ijcms/article/view/466



