Ayer Keroh – Memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan warga kerja menjadi fokus utama Sambutan Bulan Kesejahteraan Kesihatan anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2026.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, pihaknya menyusun pelbagai program dan aktiviti melibatkan aspek kesihatan mental dan fizikal sepanjang sambutan berkenaan yang bermula dari 12 hingga 27 Nobember.
“Antara matlamat utama sambutan ini adalah mahu mengangkat matlamat untuk sentiasa sihat dengan emosi yang stabil dalam kalangan warga kerja MAIM.
“Penjagaan emosi dalam pekerjaan bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi turut mempengaruhi kualiti hubungan sesama rakan kerja,” katanya.
Beliau terdahulu menyempurnakan peluncuran Program Sambutan Bulan Kesejahteraan Kesihatan Peringkat MAIM 2026 yang turut dihadiri Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis, di Pusat Islam, Bukit Palah, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, antara program menarik sudah diatur sepanjang tempoh sambutan berlangsung adalah ‘explorace’, santapan kesihatan dan ‘brisk walk’ (berjalan laju).
“Aktiviti ini memberikan penekanan terhadap penjagaan kesihatan mental serta fizikal. Pastinya program ini akan melibatkan semua warga kerja MAIM selain diharap akan menggalakkan interaksi sosial yang positif dalam persekitaran pekerjaan,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



