LANCAR: Yusof (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran sebagai simbolik Majlis Perasmian Pembukaan Program Malaysia Techlympics Peringkat Zon Sabah 2026 di UMS.
KOTA KINABALU: Potensi teknologi di Sabah yang merangkumi biodiversiti, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI) perlu terus diteroka dan dikembangkan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan berusaha membantu bagi memastikan sumber yang ada di Sabah dapat dikembangkan menjadi hasil, terutama untuk manfaat negeri ini.
Menurutnya, Sabah mempunyai sumber yang kaya, khususnya dari aspek biodiversiti yang dilihat mempunyai potensi lebih meluas dan mampu menjadi teknologi terhebat.
Bagaimanapun jelasnya, usaha eksplorasi masih lagi di peringkat yang perlu diusahakan, selain teknologi hijau yang juga merupakan perkara yang boleh diteroka bersama.
“Usaha ini perlu disokong dengan kefahaman mengenai kepentingan kreativiti dan inovasi supaya golongan muda dapat mengenal pasti serta meneroka potensi yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
“Banyak bidang teknologi yang boleh dibangunkan di Sabah dan kalau saya sebutkan memang banyak, sebagai contoh Kecerdasan Buatan (AI),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Perasmian Pembukaan Program Malaysia Techlympics Peringkat Zon Sabah 2026 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Isnin.
ANUGERAH: Yusof (tengah) menyampaikan anugerah khas kepada seorang penerima pada majlis itu.
Beliau berkata, penganjuran Malaysia Techlympics antara usaha yang dilaksanakan MOSTI untuk mencungkil bakat dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Menurutnya, program yang dianjurkan sejak 2022 itu diwujudkan dalam bentuk pertandingan bagi mencungkil bakat pelajar, selain memberi ruang kepada mereka menghasilkan ciptaan.
Yusof berkata, pertandingan itu memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengambil bahagian, berfikir dan melakukan persembahan, sekali gus menjadikan bidang sains dan teknologi lebih menarik kepada mereka.
Katanya, penyertaan dalam Techlympics yang semakin meningkat turut menunjukkan peningkatan kecenderungan dan kefahaman masyarakat, termasuk pelajar, mengenai kepentingan sains dan teknologi.
Beliau berkata, seramai 1,043 peserta daripada 65 sekolah dan institusi pengajian tinggi mengambil bahagian dalam program berkenaan di peringkat Sabah dan Labuan.
“Kalau kita lihat di peringkat negara, angka itu sudah mencapai lebih 2.8 juta penyertaan, dan saya rasa nanti dalam setahun lagi, mungkin angka itu akan meningkat.
“Perkembangan ini menunjukkan bagaimana program berkenaan membantu kerajaan dalam usaha memperkasa budaya sains dalam kalangan Masyarakat,” katanya.
KENANGAN: Para tetamu kehormat bersama Yusof (duduk, tengah) serta pelajar yang hadir merakamkan gambar kenangan.
Beliau berkata, usaha itu penting kerana negara masih memerlukan kepakaran dalam bidang sains. Justeru kerajaan mencari kaedah untuk memberi lebih banyak peluang kepada pelajar supaya kemahiran mereka bersesuaian dengan keperluan industri dan pasaran.
“Kita mencari kaedah bagaimana dapat membantu kerajaan atau kementerian yang bersama ada kepentingan dan memberi pelajar lebih peluang.
“Sesuai dengan industri ataupun pasaran yang ada supaya mereka nanti tidak menjadi penganggur apabila keluar dari menara gading,” jelasnya.
Dalam pada itu, Yusof turut merakamkan penghargaan kepada agensi yang terlibat dalam penganjuran itu, termasuk UMS yang menjadi rakan strategik dalam membantu menjayakan program Malaysia Techlympics.
Beliau berkata, usaha berkenaan belum boleh dianggap selesai kerana masih banyak perkara perlu dilakukan, khususnya untuk Sabah.
“Selagi saya belum keluar dari Kementerian ini, saya tidak akan puas hati, kerana kita mempunyai jalan yang panjang, terutamanya untuk Sabah.
PERSEMBAHAN: Acara persembahan dron yang menarik perhatian para tetamu kehormat serta peserta program.
“Usaha MOSTI untuk memastikan masyarakat yang berada jauh dari kawasan bandar, termasuk di pulau, tidak dipinggirkan daripada program dan pendedahan berkaitan STI,” katanya.
Beliau berkata, dalam memastikan bakat yang dikenal pasti tidak hilang selepas tamat persekolahan atau pengajian, MOSTI mempunyai usaha susulan untuk membimbing peserta yang mempunyai potensi.
“Kita mempunyai agensi berkaitan dan usaha kementerian ini untuk menyusuri kepada usaha-usaha yang kita nampak ada dalam kalangan peserta itu. Kita akan buat tindakan susulan dengan pelbagai bimbingan serta panduan.
“Peserta turut digalakkan mengembangkan idea mereka sehingga menjadi projek atau produk yang boleh membantu negara dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
“Apa yang kita cuba lakukan adalah untuk menjadikan mereka kreatif, lebih inovatif kerana itu yang menyebabkan mereka akan ada nampak matlamatnya dan untuk menjadi inovatif bagi memikirkan penyelesaian,” jelasnya.
Menurutnya, penyelesaian yang dihasilkan itu diperlukan oleh industri, negara dan masyarakat setempat.
MERIAH: Ramai pelajar yang mengambil peluang untuk mengenali STI secara lebih dekat.
Selain itu, Yusof berkata, penggabungan beberapa program MOSTI di Sabah dibuat kerana program berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Katanya, pada peringkat awal, program berkenaan dilaksanakan secara berasingan seperti Minggu Sains Negara, Techlympics dan program berkaitan STI, namun kini digabungkan bagi mencapai objektif yang sama.
“Kita buat kerja untuk satu objektif iaitu membudayakan sains teknologi.
“Sebab itu kita gabungkan semua pada penganjuran kali ini agar komuniti faham bahawa apabila pelajar atau murid mahu mengetahui perkara berkaitan sains, semuanya ada di sini,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu turut memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa semua program berkenaan dilaksanakan bagi memperkenalkan sains, teknologi, kreativiti dan inovasi kepada pelajar serta masyarakat.
Sehubungan itu, pihaknya berharap objektif berkenaan akan dapat dicapai dan seterusnya boleh dibawa untuk masa akan datang.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



