DUA PENJAWAT AWAM DIDAKWA KEMUKA BUTIRAN MATAN PALSU RM29,440

HADIR: Kedua-dua tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

TAWAU: Dua penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini, atas tiga pertuduhan setiap seorang membabitkan pengemukaan dokumen mengandungi butiran matan palsu dan bersubahat mendapatkan tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan serta pemantauan bencana berjumlah RM29,440.

Kedua-dua tertuduh, masing-masing berusia 42 dan 38 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama didakwa dengan disedarinya memberikan kepada seorang ejen dokumen tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana ketika Monsun Timur Laut yang mengandungi butiran palsu.

Tiga tuntutan berkenaan masing-masing berjumlah RM9,600, RM9,920 dan RM9,920 dan dibuat di Pejabat RELA Daerah Lahad Datu antara Disember 2022 hingga Februari 2023.

Tertuduh kedua pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat bersama tertuduh pertama melakukan kesalahan berkenaan dengan menyemak borang tuntutan elaun terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan yang beralamat tetap di Tawau, selain deposit RM3,000.

Kedua-duanya turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak menghubungi saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober 2026.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

DUA PENJAWAT AWAM DIDAKWA KEMUKA BUTIRAN MATAN PALSU RM29,440

HADIR: Kedua-dua tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi menghadapi pertuduhan berkenaan. TAWAU: Dua penjawat awam didakwa …

KETUA PENOLONG PENGARAH, PENGARAH EKSEKUTIF DITAHAN KES RASUAH RM18,

MOHD FUAD KOTA KINABALU: Seorang Ketua Penolong Pengarah di sebuah jabatan di Sabah dan Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan …

SABAH TIDAK TERGESA-GESA DALAM PERDAGANGAN KREDIT KARBON

GIMIK: Masidi menyempurnakan gimik perasmian Sabah Carbon Market Forum di sini hari ini. KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan tergesa-gesa …