LUPUS: Alhusin memerhatikan proses membuka bungkusan bekalan dadah yang akan dilupuskan di Tapak Pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selesai melupuskan pelbagai barang kes dadah bernilai RM120.43 juta di Tapak Pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Proses bermula jam 7 pagi itu membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan yang dibawa menggunakan empat palet merangkumi 93 kotak.
Antara barang kes yang dilupuskan ialah 370,223.042 gram syabu, 609,669.2 gram mitragynine, 24,104.15 gram kokain, 3,518.04 gram ketamin dan 2,970.17 gram ganja.
Selain itu, 14.95 gram Eramin 5 dan 0.2 gram heroin turut dimusnahkan mengikut tatacara ditetapkan.
Pelupusan berkenaan dihadiri Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil; Timbalan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Sabah, Deputi Superintendan Ku Azam Ku Abdullah; Pegawai Turus Perundangan dan Naziran JSJN Sabah, Asisten Superintendan Siti Norsaidah Mohamad Shah; Inspektor Zuriaeh serta Koperal Te Cang Xiong.
Turut hadir wakil Kualiti Alam Sdn Bhd, Norimah Daud dan Azrul Hakim.
Penghantaran barang kes dikawal dan diiringi secara berperingkat oleh Kontinjen Selangor, Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Kawalan turut membabitkan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Nilai serta BPJKK dan Trafik IPD Seremban.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada sidang media 1 September lalu memaklumkan dadah bernilai RM120,429,666.49 akan dilupuskan.
Pelupusan itu membabitkan barang kes daripada 5,732 kertas siasatan bagi memastikan dadah berkenaan tidak kembali ke pasaran.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



