HADIR: Ewon (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat pada program berkenaan.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan sektor swasta perlu terus memperkukuh kerjasama bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta membentuk masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan tidak mampu membina masa depan ekonomi negeri secara bersendirian.
Katanya, penyertaan sektor swasta khususnya ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan dan pemimpin industri amat penting bagi melengkapi usaha kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.
“Kerajaan mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan perniagaan dan pelaburan menerusi dasar bersesuaian, penyediaan infrastruktur, kesalinghubungan, fasilitasi serta bentuk sokongan lain.
“Namun, kerajaan tidak mampu membina masa depan ekonomi Sabah secara bersendirian. Sebab itu, penyertaan kukuh sektor swasta amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada program CEO Masterclass 2026 anjuran Sabah Young Business and Industry Leaders (SYBIL) dan Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Sabah, di sini, hari ini.
Program bertemakan ‘Leadership In Action – Beyond Certainty’ itu menghimpunkan lebih 400 CEO, pemilik serta pemimpin perusahaan dan industri, ketua jabatan dan peserta.
Ewon berkata, pemimpin industri mempunyai peranan besar dalam menentukan fasa seterusnya pembangunan ekonomi Sabah menerusi perkongsian pengetahuan, pengalaman dan jaringan yang dimiliki.
Menurutnya, input daripada golongan terbabit akan lebih bernilai apabila diterjemahkan kepada idea baharu, kerjasama perniagaan, pelaburan serta inisiatif yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi negeri.
“CEO Masterclass bukan sekadar platform untuk mendengar pembentangan dan bertukar pandangan, tetapi perlu menghasilkan tindakan serta kerjasama yang memberikan impak kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta memanfaatkan program berkenaan untuk memperluas jaringan merentasi industri selain meneroka peluang kerjasama baharu.
Beliau berharap perkongsian pengetahuan, pengalaman, idea dan jaringan menerusi CEO Masterclass 2026 dapat berkembang menjadi peluang perusahaan baharu, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkukuh kerjasama perniagaan dalam kalangan peserta.
Turut hadir Presiden SYBIL, Datuk James Wong dan Presiden MICCI Sabah, Datuk Susan Chang.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



