TEMPAT KERJA PERLU JADI BENTENG AWAL BANTERAS DADAH – RINA

RASMI: Rina (Tengah) Ketika Hadir Merasmikan Seminar Pemerkasaan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Tempat kerja perlu diperkasa sebagai benteng awal membendung penyalahgunaan dadah bagi memastikan persekitaran pekerjaan kekal sihat, selamat dan produktif.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, isu penyalahgunaan dadah tidak hanya memberi kesan kepada individu, malah turut menjejaskan keluarga, rakan sekerja, produktiviti dan keselamatan organisasi.

Katanya, usaha membanteras masalah itu tidak boleh dipikul satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan, agensi, majikan dan masyarakat.

“Tempat kerja bukan sekadar lokasi seseorang melaksanakan tanggungjawab dan mencari rezeki, malah sebahagian daripada kehidupan sosial yang turut mempengaruhi kesejahteraan, tingkah laku dan produktiviti seseorang.

“Justeru, usaha mewujudkan tempat kerja bebas dadah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina organisasi yang sihat, selamat dan produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Negeri Sabah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, semalam. Turut hadir, Pengarahِ Agensiِ Antidadahِ Kebangsaanِ Negeriِ Sabah, Elmariahِ Chung.

Rina berkata, Sabah merekodkan 8,665 individu yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan pada 2025, berbanding 9,207 orang pada 2024, menunjukkan penurunan sebanyak 5.9 peratus.

Bagaimanapun, katanya, penurunan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa kerana terdapat peningkatan dalam beberapa kategori pekerjaan.

“Pekerja sektor swasta meningkat daripada 14.4 peratus pada 2024 kepada 17.5 peratus pada 2025, manakala kategori buruh meningkat daripada 2.6 kepada 3.4 peratus.

“Pekerja sambilan juga meningkat daripada 0.8 kepada 1.3 peratus,” katanya.

Menurutnya, statistik berkenaan menjadi peringatan bahawa masalah penyalahgunaan dadah boleh berlaku dalam mana-mana sektor dan lapisan masyarakat.

Katanya, kesan penyalahgunaan dadah bukan hanya kepada individu, tetapi boleh menjejaskan keluarga, disiplin, keselamatan dan imej organisasi.

CENDERAKENANGAN: Rina menerima cenderahati daripada Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah, Elmariah Chung.

Rina berkata, pelaksanaan TEKAD perlu diterjemahkan kepada budaya kerja dan bukan sekadar program kesedaran yang dianjurkan secara bermusim.

Katanya, setiap organisasi perlu mempunyai dasar jelas untuk menolak penyalahgunaan dadah selain mekanisme bagi mengenal pasti masalah pada peringkat awal.

“Pendekatan kita perlu berubah daripada ‘bertindak selepas masalah berlaku’ kepada ‘mencegah sebelum masalah berlaku’.

“Bukan sekadar mengambil tindakan apabila berlaku kes, tetapi membina sistem dan persekitaran yang mampu mengurangkan risiko sebelum masalah itu berlaku,” katanya.

Dalam masa sama, Rina berkata, pendekatan tegas perlu diseimbangkan dengan usaha pemulihan bagi membantu individu yang terjebak mendapatkan rawatan dan intervensi sewajarnya.

“Mereka perlu diberi peluang untuk kembali berfungsi, mengekalkan pekerjaan, menjaga keluarga dan menjadi anggota masyarakat yang produktif.

“Ini bukan bermaksud kita berkompromi terhadap penyalahgunaan dadah, tetapi usaha pencegahan dan pemulihan perlu bergerak seiring,” katanya.

Beliau turut menyeru jabatan, agensi, majikan dan organisasi yang menyertai seminar supaya mengambil tindakan konkrit selepas program berkenaan dan tidak sekadar berhenti pada perkongsian ilmu.

“Kejayaan TEKAD bukan diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya perubahan budaya organisasi serta keberanian warga kerja mendapatkan bantuan sebelum masalah menjadi lebih serius,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

TEMPAT KERJA PERLU JADI BENTENG AWAL BANTERAS DADAH – RINA

RASMI: Rina (Tengah) Ketika Hadir Merasmikan Seminar Pemerkasaan Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Negeri Sabah. KOTA KINABALU: Tempat kerja perlu …

PETROL, LPG DAN MINYAK MASAK RM104,138 DIRAMPAS DI TAWAU

RAMPAS: Suspek Bersama Barangan Kawalan Bersubsidi Yang Dirampas Diserahkan Kepada KPDN Untuk Tindakan Dan Siasatan Lanjut. TAWAU: Sebanyak 220 liter …

TINDAKAN PEMBANTERASAN PENYALAHGUNAAN DADAH DI KALANGAN REMAJA DAN PELAJAR SEKOLAH DI TERENGGANU

Isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah di Terengganu masih menjadi kebimbangan utama pihak berkuasa. Lokasi negeri yang …