RAMPAS: Suspek Bersama Barangan Kawalan Bersubsidi Yang Dirampas Diserahkan Kepada KPDN Untuk Tindakan Dan Siasatan Lanjut.
TAWAU: Sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram (kg) minyak masak dirampas dalam pemeriksaan di Jalan Inderasabah, di sini semalam.
Rampasan dilakukan selepas seorang individu gagal mengemukakan permit atau dokumen kebenaran bagi memiliki barangan kawalan bersubsidi berkenaan ketika diperiksa Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.
Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
KPDN dalam kenyataan memaklumkan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM104,138.40.
Menurut kenyataan itu, KPDN Tawau telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“KPDN mengingatkan mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan penyelewengan barang kawalan.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
KPDN turut menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang bagi memastikan bekalan barangan kawalan bersubsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



