MOHD AZHAR
KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai membawa nasib kurang baik dan menilik nasib dipercayai memperdaya mangsa sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menahan 12 individu dalam beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud, Sabtu dan Ahad lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD).
Katanya, tangkapan membabitkan 10 wanita dan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
“Dalam serbuan di Kota Kinabalu dan Keningau pada Sabtu lalu, polis menahan empat individu sebelum operasi diteruskan di Kota Belud pada keesokan harinya.
“Di Kota Belud, lapan lagi suspek termasuk tujuh wanita warga China ditahan,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Azhar berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa sebelum menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara sembahyang bagi membuang sial.
Menurutnya, suspek kemudian memperkenalkan seorang wanita yang mendakwa mampu menilik nasib, mengubat atau menjalankan upacara tertentu.
“Mangsa dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau sembahyang.
“Wang atau barang kemas itu kemudian dilarikan atau ditukar dengan barangan lain sebelum dimasukkan ke dalam plastik atau beg,” katanya.
Beliau berkata, mangsa biasanya diarahkan tidak membuka plastik atau beg berkenaan dalam tempoh tertentu.
Katanya, arahan itu dipercayai bertujuan memberi masa kepada suspek melarikan diri.
“Sindiket itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya lima hingga enam kes yang dilaporkan.
“Ia dipercayai aktif sejak awal tahun ini, termasuk di Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan.
“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM600,000 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam operasi itu katanya, polis turut merampas 13 telefon bimbit, 13 kad SIM dan tujuh pasport.
“Wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia, Renminbi dan Baht Thailand berjumlah kira-kira RM20,000 serta lima kenderaan turut dirampas,” katanya.
Mohd Azhar berkata, suspek bagi kes di Kota Kinabalu direman sehingga 14 Ogos ini.
Katanya, kertas siasatan bagi kes berkenaan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Pertuduhan bagi kes di Kota Kinabalu dijangka dibuat esok, manakala pertuduhan berkaitan kes di Sandakan dijadualkan minggu hadapan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan khidmat rawatan, menilik nasib atau upacara membuang sial.
Katanya, orang ramai perlu berhati-hati sekiranya diminta menyerahkan wang tunai atau barang kemas bagi tujuan berkenaan.
“Sesiapa yang mengesan aktiviti mencurigakan seperti ini diminta segera membuat laporan kepada polis.
“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa sindiket dengan modus operandi sama juga diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



