TINDAKAN DAN LANGKAH UNTUK MENANGANI KESALAHAN DAN KEMALANGAN JALAN RAYA MELIBATKAN REMAJA

Kesalahan dan kemalangan jalan raya melibatkan remaja terus menjadi kebimbangan negara. Saban hari tidak dapat tidak terselit insiden kemalangan melibatkan golongan muda sehingga membawa kepada kematian.

Statistik menunjukkan golongan muda merupakan kumpulan paling berisiko di jalan raya. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kira-kira 90 peratus daripada 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah. Dalam tempoh 10 tahun, negara kehilangan hampir 60,000 nyawa akibat kemalangan jalan raya, dan 82 peratus daripadanya melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal.

Di peringkat negeri, sebagai contohnya, data JPJ Pulau Pinang menunjukkan 45 peratus kematian penunggang motosikal melibatkan mangsa berumur 16 hingga 29 tahun. Manakala di Sarawak pula, MIROS melaporkan penunggang motosikal dan belia terus menjadi kumpulan paling berisiko dalam kemalangan maut.

Dari data PDRM pula merekodkan purata 1,720 kemalangan sehari sejak 2019, dengan punca utama adalah kecuaian pemandu, penggunaan telefon semasa memandu dan kenderaan terbabas.

JPJ Terengganu turut mengesan 369 kes pemandu bawah umur dalam tempoh awal tahun ini, kebanyakannya terlibat aktiviti tunggangan berbahaya dan perlumbaan haram.

Bagi menangani masalah ini, beberapa tindakan dan langkah perlu dilaksanakan secara bersepadu:

Pertama, penguatkuasaan dan pendidikan awal.
JPJ dan PDRM perlu mempergiatkan Ops Khas Motosikal dan sekatan jalan raya di kawasan tumpuan remaja. Pada masa sama, kempen advokasi keselamatan jalan raya di sekolah dan IPT perlu diperluas. Program seperti MyLesen B2 yang dilaksanakan JPJ membantu remaja mendapatkan lesen secara sah dan didedahkan dengan peraturan jalan raya.

Kedua, peranan keluarga dan masyarakat.
Ibu bapa perlu memantau pergerakan anak dan memastikan mereka tidak menunggang tanpa lesen dan topi keledar. Seperti peringatan dan laungan JPJ Negeri Sarawak, “Jika mereka tidak ada topi keledar, jangan benarkan keluar. Nyawa tidak boleh dibeli di kedai”. NGO dan komuniti juga boleh menganjurkan program kesedaran dan sumbangan kelengkapan keselamatan.

Ketiga, penambahbaikan infrastruktur dan dasar.
Pihak berkuasa perlu meneliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan memperketat hukuman terhadap kesalahan pemanduan berbahaya. Kempen berterusan oleh JPJ bersama MIROS dan PDRM perlu memfokus kepada bahaya memandu laju, memotong di selekoh dan penggunaan gajet semasa memandu.

Kesimpulannya, remaja adalah aset negara. Kehilangan mereka akibat kemalangan jalan raya memberi kesan besar kepada tenaga kerja dan masa depan negara. Dengan gabungan penguatkuasaan, pendidikan, sokongan keluarga dan kesedaran diri, kita mampu mengurangkan kesalahan dan kemalangan jalan raya dalam kalangan remaja.

Sumber :
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/779-kes-kemalangan-maut-babitkan-pelajar-sekolah-pengarah-jspt

https://bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …