𝗢𝗣𝗦 𝗦𝗔𝗣𝗨, 𝗢𝗣𝗦 𝗛𝗜𝗝𝗔𝗨, 𝗢𝗣𝗦 𝗠𝗔𝗛𝗜𝗥, 𝗢𝗣𝗦 𝗕𝗘𝗟𝗔𝗡𝗝𝗔 𝗗𝗔𝗡 𝗢𝗣𝗦 𝗦𝗘𝗟𝗘𝗥𝗔 𝗗𝗜 𝗦𝗘𝗧𝗜𝗨 𝗗𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗦𝗨𝗧

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu menerusi Bahagian Penguatkuasaan telah melakukan Ops Sapu, Ops Hijau, Ops Mahir, Ops Belanja dan Ops Selera di sekitar Setiu dan Besut bermula jam 9.00 pagi, 20 Julai 2026.

Sebanyak lapan lokasi telah diperiksa melibatkan seramai 63 individu yang menjalani pemeriksaan dokumen dan status imigresen. Pemeriksaan dijalankan di beberapa tapak pembinaan, tapak pengubahsuaian, premis perniagaan, kilang, rumah kediaman dan premis makanan.

Hasil pemeriksaan mendapati seramai 18 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 13 lelaki, empat perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara 15 hingga 53 tahun telah ditahan.

Tangkapan melibatkan enam lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, dua lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan, seorang perempuan warga Kemboja serta lima warga Thailand terdiri daripada seorang lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan. Mereka disyaki melakukan kesalahan tidak memiliki pas atau permit yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pemeriksaan dijalankan di dua tapak pembinaan dan sebuah tapak pengubahsuaian di sekitar Merang, Penarik dan Kampung Fikri, sebuah premis bunga di Tembila, sebuah kilang kayu di Gong Medang, sebuah rumah kediaman serta sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Payong, Jertih dan sebuah premis makanan di Permaisuri.

Tangkapan tertinggi direkodkan di sebuah kilang kayu di Gong Medang dan sebuah premis makanan di Permaisuri dengan masing-masing melibatkan lima tangkapan. Sebanyak tiga saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut. Kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di premis pekerjaan, perniagaan dan kediaman bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Sumber: Laman FB Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu, 02 Ogos 2026

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …