KERJASAMA: Masidi menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd.
KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi di Sabah perlu menghasilkan peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan bagi memastikan sumbangannya terhadap ekonomi negeri benar-benar bermakna.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, transformasi digital tidak seharusnya sekadar mengguna pakai teknologi tanpa matlamat yang jelas.
Namun, katanya, ia perlu menyelesaikan masalah operasi sebenar dan mewujudkan nilai kepada organisasi serta masyarakat.
“Keberkesanan teknologi perlu diukur berdasarkan peningkatan dalam produktiviti, tadbir urus, kualiti perkhidmatan dan daya tahan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Masidi berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi berupaya membantu perniagaan di Sabah beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos serta memperkukuh rantaian bekalan.
Menurutnya, teknologi berkenaan turut membolehkan organisasi membuat keputusan lebih tepat berdasarkan maklumat yang tersedia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan proses pendigitalan perlu bergerak seiring dengan aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan manusia.
“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi berkata kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dan syarikat tempatan mampu menggabungkan kepakaran global dengan pengetahuan mengenai persekitaran operasi serta keperluan pelanggan di Sabah.
Beliau turut menekankan kepentingan latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional bagi memastikan rakyat Sabah mampu mengambil bahagian dalam bidang teknikal, pengurusan serta inovasi yang menawarkan nilai lebih tinggi.
“Ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran dari luar. Sabah mesti terus membangunkan tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaiannya sendiri.
“Kejayaan sesuatu kerjasama teknologi akhirnya perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan nilai berkekalan untuk Sabah,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



