Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di kawasan rekreasi sungai susulan beberapa kejadian kepala air yang meragut nyawa sejak kebelakangan ini.
Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, langkah itu melibatkan peningkatan pemantauan di 22 kawasan rekreasi berisiko tinggi di Hulu Terengganu, Dungun, Besut, Setiu dan Kemaman bagi mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan kesiapsiagaan semua pihak.
Prosedur sedia ada sentiasa dinilai dan ditambah baik berdasarkan pengalaman operasi, hasil siasatan insiden serta perkembangan semasa. Penambahbaikan itu melibatkan Prosedur Operasi Seragam (POS) 2.5 Tahun 2012 bagi Pengoperasian STORM dan Buku Panduan Mencari dan Menyelamat (SAR) di Hutan/Gunung 2019.
Seterusnya, mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap tanda awal fenomena kepala air seperti perubahan warna air sungai, peningkatan paras air secara mendadak, arus yang semakin deras serta bunyi gemuruh dari arah hulu sungai. JBPM bersama agensi berkaitan turut mempertingkatkan langkah keselamatan melalui pemasangan papan tanda amaran, penyediaan laluan pemindahan kecemasan, sistem siren, pemantauan cuaca dan paras air serta penambahan kit menyelamat di kawasan berisiko tinggi.
Pihaknya turut menegaskan keberkesanan langkah keselamatan bukan sahaja bergantung kepada kemudahan yang disediakan, malah memerlukan kerjasama pengusaha dan pengunjung untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2026/07/22-lokasi-kepala-air-di-terengganu/



