DUN: Hajiji Bersedia Untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Hari Ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan untuk mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035 sebagai hala tuju peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran kapasiti penjanaan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu dilaksanakan melalui inisiatif strategik berkaitan tenaga boleh baharu di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri iaitu ‘Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040’ (SE-RAMP 2040).
Menurutnya, kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus itu dapat dicapai melalui projek-projek tenaga boleh baharu yang sudah dikenal pasti pelaksanaannya.
Beliau berkata, bagi tempoh hingga 2030, fokus kerajaan negeri adalah meningkatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu secara berperingkat.
Katanya, ia dilaksanakan melalui penambahan kapasiti sumber solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim berserta teknologi penyimpanan tenaga (Energy Storage System), bagi memastikan kestabilan sistem grid untuk memitigasikan isu intermittency tenaga boleh baharu ini.
“Pada masa ini, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307 MegaWatt (MW), iaitu bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Bagi meningkatkan kapasiti itu, beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan, antaranya Projek Solar Berskala Besar (LSS) berjumlah 450 MW, merangkumi 200 MW yang kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini hingga awal 2027, serta tambahan 250 MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028.
“Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200 MW/400 MW jam yang kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028 serta Projek Penjanaan Tenaga Angin berkapasiti 100 MW yang dijangka siap pada 2029.
“Pelaksanaan Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187 MW serta Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162 MW yang dijangka siap pada 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (PBRS-Sook) mengenai hala tuju kerajaan negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan bagi merealisasikan sasaran berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Hajiji berkata, dengan pelaksanaan projek-projek berkenaan secara berfasa, kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200 MW menjelang 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” jelasnya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



