KKTP SABAH TURUN PADANG PANTAU PRESTASI AHLI MAJLIS

ALBUM: Mohd Arifin (Duduk, Enam Kanan) Bergambar Bersama Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau Selepas Majlis Angkat Sumpah Dan Penyerahan Watikah Pelantikan.

TAWAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah tidak hanya bergantung kepada laporan di atas kertas, sebaliknya turun padang ke seluruh negeri bagi memantau prestasi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pemantauan secara berterusan itu penting bagi memastikan setiap ahli majlis melaksanakan amanah dengan berkesan serta memahami hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, pemantauan akan dilakukan melalui pemimpin di peringkat bahagian, presiden majlis, pegawai daerah dan kementerian sendiri.

“Pemimpin di bahagian, presiden majlis dan pegawai daerah mempunyai pengalaman serta bertanggungjawab terhadap tadbir urus kerajaan di kawasan masing-masing.

“Pada masa sama, kementerian juga akan sentiasa memantau prestasi ahli majlis. Sebab itu saya turun padang melawat semua majlis daerah dan majlis perbandaran di Sabah. Hari ini adalah lawatan saya yang ke-18,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Daerah Semporna dan Majlis Daerah Kunak, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal dan Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Anil Singh.ANGKAT SUMPAH: Semua ahli majlis melafazkan sumpah selepas menerima pelantikan masing-masing.

Mohd Arifin berkata, kementeriannya turut merancang menganjurkan program di setiap bahagian di Sabah bagi memberi pendedahan dan taklimat kepada semua ahli majlis mengenai dasar serta agenda pembangunan kerajaan negeri.

Katanya, program itu membolehkan ahli majlis memperoleh maklumat secara terus daripada KKTP dan kementerian lain supaya mereka memahami serta menghayati hala tuju yang digariskan kerajaan negeri.

“Kita mahu semua ahli majlis memahami aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 supaya dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Mereka adalah penghubung antara kerajaan dan masyarakat, sebab itu peranan mereka perlu terus diperkasakan melalui pemantauan dan latihan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu diharap dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan PBT sekali gus memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …

GAYA HIDUP SIHAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Gaya …

OPS SAMSENG JALANAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Bahagian Siasatan …