OPERASI: Anggota bomba menjalankan operasi mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung sebelum diserahkan kepada polis.
KUDAT: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung di kawasan Jeti Angkasa Baru, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darickson Galanang, berkata pihaknya menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat mengenai penemuan mangsa pada sebelah pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, tujuh anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi pada jam 10.43 pagi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak bernyawa dan terapung di permukaan air berhampiran jeti.
“Pasukan kemudian menjalankan operasi mengangkat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti ketika operasi dijalankan.
Katanya, selepas mangsa berjaya diserahkan kepada pihak polis dan pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.18 pagi.
“Kes diserahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti identiti mangsa dan punca kejadian,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



