NIZAM
TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) menganjurkan Festival Komuniti Havoc sempena Piala Dunia FIFA 2026 menerusi tayangan skrin besar di Tawau dan Kota Kinabalu bagi menyemarakkan demam bola sepak dalam kalangan rakyat Sabah.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program itu bukan sekadar menyediakan ruang kepada peminat bola sepak menyaksikan aksi kejohanan terbesar dunia secara bersama, malah menjadi platform mengukuhkan perpaduan masyarakat serta merancakkan ekonomi komuniti.
Katanya, festival berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah sebagai medium menggalakkan penglibatan aktif belia dan komuniti dalam aktiviti berteraskan sukan.
“Kita mengambil peluang sempena demam Piala Dunia FIFA 2026 untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana yang sihat dan harmoni.
“Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah membuka peluang kepada usahawan belia menjana pendapatan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti,” katanya pada sidang media di Dewan Arena Belia Tawau, semalam.
Beliau berkata, tayangan pertama akan diadakan di Arena Belia Tawau pada 8 Julai bermula jam 12 tengah malam membabitkan aksi pusingan 16 terbaik yang dijangka menemukan Argentina dan Mesir.
Katanya, kemuncak festival akan berlangsung di Dewan Berbumbung Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada 19 Julai menerusi tayangan perlawanan penentuan tempat ketiga, diikuti tayangan final Piala Dunia pada awal pagi 20 Julai.
Menurutnya, program di Tawau bermula seawal jam 4 petang pada 7 Julai dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan e-sukan FIFA, pertandingan domino, cabaran teka skor, kuiz interaktif, persembahan freestyle juggling, bicara santai bola sepak, cabutan bertuah, jamuan barbeku dan gerai jualan usahawan.
Sementara itu, festival di Kota Kinabalu pula akan menampilkan lima zon utama iaitu Sport Experience Zone, Community Hub Zone, Food Street Zone, Fan Experience Zone dan Havoc Community Zone.
Antara aktiviti yang disediakan ialah cabaran sepakan penalti, pertandingan Mobile Legends dan PUBG Mobile, sesi bertemu pemain Sabah FC, persembahan busking, pameran agensi kerajaan, jualan Rahmah, food truck, podcast sukan, pertandingan teka gol dan cabutan hadiah.
Nizam berkata, penganjuran festival itu turut menyokong agenda kerajaan negeri dalam menjadikan sukan sebagai pemacu ekonomi kreatif dan pelancongan.
“Sukan bukan sekadar aktiviti riadah atau hiburan, tetapi mampu menjadi platform menyatukan masyarakat, merancakkan ekonomi tempatan dan memperkukuhkan industri pelancongan melalui penganjuran acara berskala besar,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai khususnya peminat bola sepak di Sabah dijemput hadir memeriahkan festival itu bagi bersama-sama merasai kemeriahan suasana Piala Dunia.
“Kita mahu rakyat Sabah merasai sendiri aura Piala Dunia seolah-olah berada di stadium di Amerika Syarikat, Mexico atau Kanada sambil menyokong pembangunan sukan dan ekonomi komuniti di negeri ini,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



