KERAJAAN NEGERI PERKASA MODAL INSAN DEMI EKONOMI MASA DEPAN

SERAH: Musa, bersama Ewon pada Majlis PHEKS 2026 Zon Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan bakat tempatan menjadi antara keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Sabah dapat mengisi peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang diwujudkan hasil kemasukan pelaburan baharu serta perkembangan sektor ekonomi strategik.

Beliau berkata, kerajaan mahu melihat lebih ramai anak Sabah muncul sebagai jurutera, teknologis, juruteknik mahir, saintis data, pakar AI serta pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global.

“Kerajaan negeri terus komited melaksanakan agenda pembangunan berteraskan rakyat melalui Hala Tuju SMJ 2.0 dengan matlamat membina sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan inklusif, di mana hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 kepada kesatuan-kesatuan sekerja Sabah di Ballroom Hotel Magellan Sutera, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman

Hajiji berkata, dunia pekerjaan kini sedang melalui transformasi besar yang dipacu teknologi digital, automasi dan AI, sekali gus mengubah landskap pekerjaan serta mewujudkan pelbagai peluang kerjaya baharu yang memerlukan kemahiran berbeza.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesatuan sekerja perlu bergerak seiring dengan perubahan semasa melalui usaha memperkukuh pendigitalan organisasi, meningkatkan kemahiran ahli serta mematuhi piawaian antarabangsa.

Beliau turut menyeru kerjasama erat antara kesatuan sekerja, majikan, institusi latihan dan agensi kerajaan bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada para pekerja.

Menurutnya, agenda itu selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 yang memberi penekanan besar terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya menjadi laluan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang diperlukan industri masa hadapan.

“Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju serta teknologi hijau yang semuanya memerlukan tenaga kerja kompeten dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Hajiji berkata, kejayaan pembangunan negeri memerlukan kerjasama kukuh antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni dan mampan.

Beliau turut menggesa majikan terus mengamalkan budaya kerja yang adil, prihatin dan berintegriti, manakala pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahiran serta pengetahuan agar kekal relevan dengan keperluan industri.

Katanya, pemimpin kesatuan sekerja pula perlu terus memainkan peranan sebagai suara yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh dalam memperjuangkan kebajikan pekerja serta menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

Pada masa sama, Hajiji berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan penting kesatuan sekerja sebagai jambatan yang menghubungkan aspirasi pekerja, majikan dan kerajaan, selain menjadi antara pemangkin kepada kestabilan hubungan perusahaan serta keyakinan pelabur.

Beliau berkata, menerusi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS), Kerajaan MADANI memperuntukkan RM6.1 juta bagi pelaksanaannya di seluruh negara pada tahun ini, termasuk RM310,000 yang disalurkan kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.

“Gunakanlah peruntukan ini sebaik mungkin dan penuh amanah bagi meningkatkan kompetensi ahli, memperkukuh sistem pengurusan organisasi serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada para pekerja,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …