UMPAN RM5 DAN MI GORENG, WARGA EMAS DITAHAN BANTU SIASATAN KES CABUL

Ayer Keroh – Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun ditahan selepas dipercayai mencabul dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 10 tahun dengan mengumpan mangsa menggunakan wang tunai RM5 serta mi goreng dalam kejadian di sebuah masjid di Semabok.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek yang merupakan ahli kariah masjid itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan dalam tempoh kira-kira dua minggu sejak 16 Jun lalu.

Katanya, kedua-dua mangsa yang merupakan murid sekolah sering menunggu ibu bapa mereka di masjid berkenaan selepas tamat sesi persekolahan sebelum didatangi suspek.

“Suspek dipercayai mengumpan kedua-dua mangsa dengan wang tunai RM5 dan mi goreng sebelum membawa mereka ke sebuah stor di kawasan masjid.

“Di lokasi itu, suspek dipercayai melakukan perbuatan mencabul kedua-dua mangsa namun tiada unsur rogol terhadap mereka” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku beberapa kali dalam tempoh kira-kira dua minggu dan mangsa turut diminta supaya tidak menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa.

Bagaimanapun, perubahan tingkah laku kedua-dua mangsa disedari pihak sekolah sebelum mereka dipanggil menjalani sesi kaunseling.

“Dalam sesi kaunseling itu, kedua-dua mangsa menceritakan kejadian sebenar kepada guru kaunseling sebelum pihak sekolah memaklumkan kepada penjaga dan laporan polis dibuat semalam,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …