TERBAKAR: Kilang terbakar selepas sebuah kompresor mesin pemotong kayu meletup di Kampung Kuala Biah, di sini, petang tadi.
KENINGAU: Dua pekerja melecur selepas kebakaran melibatkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di sebuah kilang di Kampung Kuala Biah, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.18 petang itu, kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada berhampiran lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 3.18 petang sebelum sepasukan 13 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.27 petang, kira-kira sembilan kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di dalam kilang yang musnah sepenuhnya.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah pacuan empat roda yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat saksi di lokasi, kebakaran dipercayai bermula di dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua pekerja mengalami kecederaan melecur.
“Seorang mangsa lelaki warga Malaysia mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan.
“Seorang lagi mangsa lelaki bukan warganegara mengalami kecederaan melecur dianggarkan 80 peratus pada badan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.38 petang dan menghalang api daripada merebak ke struktur bangunan kilang.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca bahaya yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



