TAHAN: Sebahagian tahanan yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 91 Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan di empat daerah di negeri ini malam Rabu.
Operasi membabitkan Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip itu dijalankan di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 373 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan merangkumi 151 individu di Kota Kinabalu sebelum 46 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Tangkapan di Kota Kinabalu membabitkan 14 lelaki, 18 wanita dan 11 kanak-kanak warga Filipina.
“Pasukan operasi turut menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, operasi penguatkuasaan di Kudat pula melibatkan pemeriksaan terhadap 46 individu.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan sembilan warga asing membabitkan seorang lelaki, empat wanita dan empat kanak-kanak.
“Operasi diteruskan di daerah Tawau dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau.
“Seramai 159 individu diperiksa dan 21 warga asing ditahan terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak warga Filipina serta Indonesia,” katanya.
Menurutnya, operasi di Ranau pula berjaya memeriksa 17 individu sebelum menahan 13 PTI warga Filipina dan Indonesia.
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI di negeri ini.
Katanya, tindakan berterusan itu penting bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara serta mengawal kemasukan warga asing tanpa dokumen sah.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



