PEMASYHURAN RIZAB BIOSFERA PENTING UNTUK SABAH: HAJIJI

RIZAB: Hajiji (tiga kanan) bersama tetamu jemputan lain ketika melihat model Rizab Biosfera Banjaran Crocker sempena majlis itu hari ini.

KOTA KINABALU: Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan iaitu  yang kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker merupakan satu detik bersejarah dan pencapaian yang amat membanggakan bagi negeri Sabah dan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lalu membuktikan landskap Kinabatangan yang meliputi kira-kira 413,866 hektar memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang luar biasa di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global.

“Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian dunia dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka di sini hari ini.

Hajiji berkata, nilai Rizab Biosfera Banjaran Crocker dengan luas kawasan 350,584 hektar yang diisytiharkan pada 2014 amat penting bagi Sabah.

Menurutnya, dianggarkan lebih daripada 1 juta individu tinggal di hampir 400 kampung di 10 daerah iaitu di Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar, dan Membakut dalam Rizab Biosfera Banjaran Crocker.

Katanya, pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker menyumbang kepada tapak UNESCO mahkota tiga serangkai atau the Triple Crown UNESCO Sites di negeri Sabah.

Justeru, Hajiji mahu semua pihak yang terlibat untuk terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik  bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan.

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang memandang serius usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistemnya amat penting untuk kegunaan penduduk dan pembangunan sosio ekonomi.

“Kewujudan kedua rizab biosfera ini juga amat berkait rapat dengan usaha murni Kerajaan Negeri Sabah untuk menjayakan Inisiatif Sabah Maju Jaya. Pada tahun ini usaha konservasi ekosistem penting di Sabah diteruskan di bawah SMJ 2.0 untuk tahun 2026-2030,” katanya.

Beliau berkata, negeri Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan.

Menurutnya, Sabah sejak sekian lama melindungi hutan, hidupan liar, serta beberapa ekosistem paling kaya di rantau ini. Pada masa ini, hampir 30 peratus daripada kawasan daratan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).

“Justeru, kita bertekad untuk terus mengukuhkan peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk melalui Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan.

“Pada masa ini, Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih yang utama, menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas.

“Inti mesejnya  ialah,  rizab biosfera menyokong iklim, khususnya dengan berfungsi sebagai penyerap karbon,” katanya.

Hajiji berkata, kedua rizab biosfera ini ialah kawasan istimewa yang melindungi alam semula jadi, dan aktiviti manusia diurus secara mampan.

“Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem pergunungan dan hutan bagi memelihara tumbuhan serta haiwan yang unik, sambil menyokong tampang air.

“Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap iaitu habitat penting bagi hidupan liar serta penting untuk mengekalkan keadaan air yang sihat.

“Apabila hutan dilindungi dan diberi peluang untuk pulih serta tumbuh semula secara semula jadi, hutan terus menyimpan karbon untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, rizab biosfera juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi setempat dan pemuliharaan yang paling berkesan berlaku apabila komuniti mendapat manfaat daripada usaha melindungi alam semula jadi.

“Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, penduduk setempat boleh meraih manfaat melalui pelancongan mampan, termasuk homestay dan perusahaan berasaskan komuniti.

“Mata pencarian jangka panjang ini menggalakkan komuniti untuk terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukan keuntungan jangka pendek,” katanya.

“Oleh itu, kita semua harus memastikan pengiktirafan kedua rizab biosfera ini dapat memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang tinggal di dalam kedua-dua kawasan rizab biosfera ini,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …