PELEPASAN HELANG, PELANDUK DAN ANAK PENYU DI PULAU REDANG

Pulau Redang, Terengganu – Sempena Sambutan Hari Laut Sedunia 2026, sebanyak 32 ekor hidupan liar dilindungi dan 570 ekor anak penyu agar telah dilepaskan di Taman Laut Pulau Redang sebagai usaha memperkukuh pemuliharaan biodiversiti serta kelestarian ekosistem daratan dan marin negara.

Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Aquawalk Group Berhad dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ketua Pengarah PERHILITAN berkata, spesies hidupan liar yang dilepaskan melibatkan empat ekor pelanduk, dua ekor landak, empat ekor helang daripada beberapa spesies serta 22 ekor ayam hutan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan khazanah alam semula jadi dan biodiversiti negara terus dipelihara.

Menurut beliau, usaha memelihara alam sekitar memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan masyarakat. Kerjasama yang bersepadu amat penting bagi memastikan warisan alam negara dapat dipertahankan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia turut memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti marin melalui pelepasan 570 ekor anak penyu agar (Chelonia mydas). Penyu agar merupakan antara spesies yang paling banyak mendarat dan bertelur di perairan Malaysia, khususnya di negeri Terengganu yang terkenal sebagai lokasi persarangan utama spesies tersebut.

Antara kawasan persarangan penyu yang signifikan di Terengganu ialah Pantai Chagar Hutang dan Pantai Pasir Panjang di Pulau Redang, Pantai Rantau Abang di Dungun, Pantai Geliga dan Pantai Ma’Daerah di Kemaman, selain beberapa lokasi di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas. Kawasan-kawasan ini memainkan peranan penting sebagai habitat pembiakan semula jadi bagi spesies penyu yang dilindungi.

Pelepasan anak penyu sempena Hari Laut Sedunia ini membawa mesej bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam memelihara lautan dan khazanah biodiversiti marin negara. Setiap anak penyu yang berjaya kembali ke habitat asalnya merupakan simbol harapan kepada kelangsungan spesies tersebut serta petunjuk kepada kesihatan ekosistem marin.

Sepanjang tahun 2025, Program Pengurusan dan Konservasi Penyu Negeri Terengganu telah merekodkan sebanyak 13,180 sarang penyu agar dengan lebih 1.06 juta biji telur berjaya dikumpulkan dan dieram. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 757,869 ekor anak penyu berjaya ditetaskan dan dilepaskan semula ke laut dengan kadar penetasan sebanyak 71.07 peratus. Selain itu, sebanyak 308 sarang tuntung laut dan 23 sarang penyu karah turut direkodkan dalam tempoh yang sama.

Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk terus menyokong usaha konservasi marin melalui amalan mesra alam seperti mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menjaga kebersihan pantai serta mengelakkan gangguan terhadap kawasan persarangan penyu. Penglibatan semua pihak diyakini mampu memastikan kelestarian biodiversiti dan ekosistem marin negara terus terpelihara untuk masa hadapan.

 

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …