KELUARAN DALAM NEGERI KASAR 2025

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada tahun 2025, meneruskan momentum pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan tersebut disokong terutamanya oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang menyumbang sebanyak 82.5 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Perbelanjaan penggunaan akhir swasta kekal sebagai penyumbang utama dengan mencatatkan 60.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2025. KDNK Malaysia pada tahun 2025 berjumlah RM2.03 trilion pada harga semasa dan RM1.74 trilion pada harga malar. Sejajar dengan itu, Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat kepada RM57,200 berbanding RM54,870 pada tahun 2024.

Sektor Perkhidmatan berkembang sebanyak 5.4 peratus pada tahun 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti tahun 2024. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan positif dalam semua subsektor utama. Subsektor Perdagangan borong & runcit meningkat 4.9 peratus (2024: 4.3%), diikuti oleh Maklumat & komunikasi sebanyak 7.4 peratus (2024: 3.5%). Subsektor Pengangkutan & penyimpanan terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 9.0 peratus (2024: 10.9%). Sektor Pembuatan meningkat 4.5 peratus (2024: 4.2%) pada tahun 2025. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam subsektor utama, terutamanya Komponen & papan elektronik, peralatan komunikasi dan elektronik pengguna yang meningkat 9.9 peratus (2024: 4.0%). Selain itu, Prosesan makanan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 9.1 peratus (2024: 4.7%), manakala Minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan berkembang 9.9 peratus (2024: 5.3%). Sektor Pertanian bertumbuh 2.2 peratus pada tahun 2025 berbanding 3.4 peratus pada tahun 2024. Prestasi ini disokong terutamanya oleh subsektor Kelapa sawit yang meningkat kepada 4.7 peratus (2024: 5.1%). Subsektor Pertanian lain dan Ternakan masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus (2024: 2.6%) dan 2.2 peratus (2024: 5.4%). Sebaliknya, subsektor Getah, Perikanan serta Perhutanan & pembalakan menunjukkan penyusutan pada tahun 2025. Sektor Perlombongan dan pengkuarian meningkat secara marginal sebanyak 0.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada tahun 2024. Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor Gas asli yang berkembang 0.5 peratus (2024: 2.3%). Ini diikuti oleh subsektor Perlombongan lain & pengkuarian dan perkhidmatan sokongan yang meningkat 2.4 peratus (2024: 4.4%), manakala subsektor Minyak mentah & kondensat merekodkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.2 peratus (2024: -1.3%) pada tahun 2025. Sektor Pembinaan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.2 peratus pada tahun 2025 berbanding 17.6 peratus pada tahun sebelumnya. Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan positif dalam semua segmen, terutamanya Bangunan bukan kediaman yang berkembang 16.6 peratus (2024: 13.9%), dan Aktiviti pembinaan pertukangan khas meningkat 12.8 peratus (2024: 21.6%).

Perbelanjaan penggunaan akhir swasta berkembang kepada 5.3 peratus berbanding 4.8 peratus pada tahun sebelumnya. Pengembangan ini didorong oleh perbelanjaan penggunaan ke atas Pengangkutan, Restoran & hotel dan Makanan & minuman bukan alkohol. Sumbangan perbelanjaan bagi barangan berkurang daripada 57.5 peratus kepada 56.6 peratus pada tahun 2025 dipengaruhi oleh barangan tidak tahan lama (71.6%) diikuti oleh barangan tahan lama (18.1%). Sebaliknya, sumbangan perbelanjaan ke atas perkhidmatan kepada jumlah perbelanjaan penggunaan swasta meningkat kepada 43.4 peratus (2024: 42.5%). Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) berkembang kepada 9.6 peratus (2024: 12.1%). Pertumbuhan ini dipengaruhi terutamanya oleh Struktur dan Jentera & peralatan yang masing-masing bertumbuh 11.1 peratus (2024: 15.5%) dan 8.9 peratus (2024: 9.1%). Selain itu, Aset lain menyederhana kepada 3.3 peratus (2024: 6.5%) pada tahun 2025. Dari segi sektor, pertumbuhan PMTK sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor Swasta (sumbangan: 77.3%) dengan pertumbuhan 9.4 peratus berbanding 12.4 peratus pada tahun 2024. Selain itu, sektor Awam meningkat kepada 10.3 peratus daripada 11.1 peratus pada tahun sebelumnya. Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan menokok kepada 5.3 peratus daripada pertumbuhan 4.6 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh perbelanjaan ke atas pendidikan dan perkhidmatan ekonomi yang telah merangsang keseluruhan perbelanjaan kerajaan pada tahun 2025. Eksport bertumbuh sederhana kepada 4.9 peratus (2024: 8.6%). Prestasi yang lebih perlahan ini dipengaruhi oleh penyederhanaan dalam Eksport barangan dan perkhidmatan yang masing-masing mencatatkan peningkatan 2.9 peratus (2024: 5.9%) dan 15.2 peratus (2024: 24.2%). Sumbangan Eksport barangan berjumlah 81.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Eksport. Import berkembang sebanyak 6.3 peratus berbanding 8.7 peratus pada tahun sebelumnya. Prestasi ini disokong oleh Import barangan yang meningkat 6.6 peratus (2024: 9.6%) dan menyumbang 81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan Import. Sementara itu, Import perkhidmatan kekal pada 5.0 peratus pada tahun 2025.

 

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …