SIMBOLIK: Jamawi (empat dari kanan) menyempurnakan upacara memotong padi ‘mongomot’ sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Kaamatan 2026.
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) kini memberi fokus utama kepada penanaman padi tanah kering bagi memperkukuh sekuriti makanan Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu dilihat berpotensi besar sebagai alternatif kepada penanaman padi sawah, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan mencukupi.
Beliau berkata, MAFFI sedang dalam perancangan memperkenalkan kaedah penanaman padi tanah kering secara meluas termasuk menggunakan pasu dan polybag di kawasan sekitar rumah.
“Kita sedang bercadang memperkenalkan tanaman padi tanah kering yang boleh diusahakan di keliling rumah, termasuk dalam pasu atau polybag.
“Sekiranya kajian varieti yang sesuai selesai, kita akan lancarkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Kaamatan 2026 di sini hari ini.
Jamawi berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa Inisiatif Kebun Dapur yang mula menunjukkan hasil positif dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Beliau melihat promosi Kebun Dapur dalam tempoh tiga hingga empat bulan inimenunjukkan ada dalam kalangan petani dan penduduk kampung yang mencuba menanam padi tanah kering di sekitar rumah mereka.
Menurutnya, Jabatan Pertanian sebelum ini turut menjalankan kajian terhadap beberapa varieti padi yang sesuai ditanam tanpa memerlukan penggunaan air yang banyak.
Katanya, hasil kajian itu akan dimanfaatkan bagi memperluaskan lagi pelaksanaan tanaman berkenaan di seluruh negeri.
Beliau berkata, usaha itu penting memandangkan Sabah masih bergantung tinggi kepada import beras yang mencecah sekitar 80 peratus.
“Apabila berlaku krisis global seperti konflik atau kenaikan kos pengangkutan, bekalan makanan boleh terjejas. Jadi kita perlu bersiap sedia dari sekarang.
“Tanaman padi tanah kering juga sesuai dilaksanakan di kawasan kategori K3 yang bergantung sepenuhnya kepada air hujan.
“Kawasan K3 ini tidak mempunyai sistem pengairan lengkap, jadi pendekatan tanaman padi tanah kering adalah antara solusi terbaik untuk dimanfaatkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempergiat usaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.
Katanya, selain padi, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan ternakan seperti jagung bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Namun jelasnya, pembangunan tanaman padi tanah kering akan terus menjadi antara keutamaan kerana potensinya yang besar serta kemampuan dilaksanakan secara kecil-kecilan oleh rakyat.
“Ini antara inisiatif yang akan kita terus perkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keterjaminan makanan negeri sentiasa terpelihara,” katanya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam; Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LGIS), Datuk Seri Panglima Jahid Jahim; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan dan Maria David Edick selalu Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



